Latest Post

UMNO upah samseng ganggu rumah Azmin... - N Surendran.

KUALA LUMPUR - KEADILAN mengecam tindakan terbaru dilakukan sekumpulan samseng Umno yang membuat kacau di hadapan rumah Timbalan Presidennya, Azmin Ali.

Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, insiden yang berlaku itu merupakan susulan serangan dan tindakan di luar undang-undang yang dilakukan penyokong Umno sejak kebelakangan ini.

“Ada arahan jelas dari pimpinan Umno supaya polis menutup sebelah mata apabila insiden keganasan oleh penyokong Umno-BN dan unit pemuda mereka tidak diambil tindakan.

“Ini bukan insiden pertama, ia bermula dengan serangan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Johor, Nurul Izzah di Lembah Pantai, serangan dalam kes Murali di Putrajaya dan dua pemimpin DAP baru-baru ini.

“Mustahil perkara ini berlaku tanpa pengetahuan dan persetujuan pimpinan BN,” katanya.

Surendran berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil tindakan segera dan mengarahkan pihak berkuasa menghentikan keganasan tersebut.

“Saya berani menyatakan, tanpa arahan tidak mungkin perkara ini berlaku. Jelas tidak ada sesiapa ditangkap atas serangan-serangan yang dilakukan ke atas pembangkang,” ujarnya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan kumpulan 50 anggota Umno Ampang itu berkumpul di jalan bertentangan rumah Azmin kira-kira jam 4 petang sambil membawa plakad dan melaungkan slogan anti KEADILAN.

Mereka berkumpul kira-kira 20 minit sambil melaungkan ‘PKR Penipu’ dan ‘Azmin’ Rasuah.

Ia adalah kejadian kedua dalam tempoh 24 jam apabila kumpulan samseng Umno itu menjadikan rumah Azmin sebagai sasaran. Malam kelmarin, sekumpulan kira-kira 20 orang bermotosikal membuat bising di tempat yang sama.

PAS semakin lemah kerana berebut isu syurga.. - Dato Hamidah Osman.

IPOH - Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Hamidah Osman menganggap Pas kini sudah semakin lemah, goyah, hilang arah tuju dan kehilangan identiti kerana dua pemimpin tertingginya tidak sependapat dan konsisten berhubung isu syurga.

Katanya, bukan setakat itu sahaja, Pas juga terlalu mengikut `telunjuk’ dan rentak rakan sekutunya DAP dan PKR sehingga akhirnya dilihat lemah dan hilang arah tuju perjuangan sebenar mereka.

``Hari ini kita melihat Pas sudah semakin lemah, goyah, kehilangan hala tuju dan identiti kerana pemimpin-pemimpin mereka mempunyai pendapat yang berbeza berhubung isu syurga yang hangat diperkatakan sekarang,’’ katanya.

Dato’ Hamidah yang juga Exco Kanan Kerajaan negeri berkata demikian kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Siber di Hotel Hillcity di sini petang tadi.

Beliau diminta mengulas pendapat yang berbeza diantara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai isu syurga.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui bahawa Pas tidak boleh menjanjikan syurga kepada mereka yang mengundi parti itu dalam pilihanraya.

Kenyataan Presiden Pas itu sekalu gus bercanggah dengan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang sebelum ini mempertahankan pendirian untuk meneruskan kempen menegakkan syiar Islam, dengan menekankan soal syurga apabila seseorang itu melahirkan sokongan kepada parti itu semasa pilihan raya.

Beliau yakin rakyat sudah sedar dan mula menolak Pas kerana parti itu semakin lemah, tidak mempunyai identitinya sendiri akibat terlalu mengikut rentak dan telunjuk rakan sekutu mereka DAP dan PKR yang begitu berangan-angan untuk menawan Putrajaya.

Katanya, kerana menyedari mereka semakin lemah Pas cuba menunjukkan kepada rakan sekutunya kononnya mereka masih kuat apabila mengadakan perhimpunan hijau secara bersendirian baru-baru ini.

Menurut Hamidah, apa yang jelas walaupun dilihat semakin lemah Pas tidak boleh bertindak bersendirian kerana terpaksa juga mengikut rentak sekutunya itu DAP dan PKR.

Mengenai majlis bersama rakan siber, Dato’ Hamidah berpendapat perhubungan diantara pemimpin dengan rakyat dalam kontekw alam maya seperti facebook amat penting dalam dunia siber sekarang kerana ia mampu menyelesaikan permasalahan rakyat.

Katanya, sebagai wakil rakyat beliau sentiasa terbuka dan menerima sesiapa juga yang mahu berhubungan dengan beliau sekali gus mengemukakan permasalahan mereka untuk diselesaikan. - PerakNews

Pasangan remaja gian berasmara dicekup.

KULIM - Sebuah kereta jenis Perodua Viva yang berada di kawasan bangunan tinggal di Bukit Putera menarik perhatian polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim berikutan berada dalam keadaan yang mencurigakan, kira-kira jam 3 petang semalam.

Hasil intipan yang dilakukan, polis mendapati pasangan remaja sedang berpelukan di dalam kereta berkenaan.

Polis kemudiannya memaklumkan kepada Pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) untuk tindakan selanjutnya.

Dari pemeriksaan dibuat, PADK mendapati pasangan perempuan yang masih bersekolah manakala pasangan lelaki berusia 20 tahun bekerja di sebuah kilang automotif di Karangan.

Ketua Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, ketika soal siasat dijalankan pasangan perempuan menangis dan tidak mahu bekerjasama.

“Bagaimanapun setelah dinasihatkan, kedua-dua mereka akur dengan kesalahan yang dilakukan.

“Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan,” katanya.

Menurutnya, masalah remaja terlibat dalam maksiat semakin menjadi-jadi.

“Perkara ini sangat serius. Jika tidak dibendung dari awal, maka rosaklah anak-anak muda kita.

“Bagaimana sekali pun kes yang melibatkan anak-anak ini, ibu bapalah pihak yang pertama perlu bertanggungjawab.

“Anak-anak adalah anugerah ALLAH, maka pikullah tanggungjawab dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Sementara itu, pasangan terlibat diarah hadir ke ke pejabat PADK untuk diambil kenyataan. Sekiranya gagal berbuat demikian, PADK akan mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 9 Enekman Jenayah Syariah 1988 kerana berkelakuan kurang sopan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Misteri Batu Nesan tumbuh sendiri di Pahang.

Kejadian ganjil ini berlaku di Kuala Lipis,Pahang di mana misteri batu nisan sebuah kubur dipercayai berusia lebih 300 tahun yang seakan ‘bernyawa’ apabila semakin tinggi hingga mencecah hampir satu meter menimbulkan tanda tanya di kalangan penduduk Kampung Dusun di sini.

Kubur lama itu menempatkan cucu kepada seorang mualaf yang juga kapitan Cina dikenali sebagai Loo Soon yang membuka kampung berkenaan dan lelaki itu datang ke Kampung Dusun untuk mencari emas.

Loo Soon atau nama Islamnya, Bedu Ahmad atau Tok Dusun kemudian berkahwin dengan wanita tempatan dan memperoleh empat anak. Seorang daripadanya dipanggil Tok Muda.

Penduduk kampung terbabit mendakwa, kubur mempunyai batu nisan bernyawa itu milik Karim Muda iaitu cucu kepada Tok Dusun yang juga individu bertanggungjawab membuka perkampungan berkenaan.

Bekas Penghulu Kampung Dusun, Ahmad Nazri Abdul Rani, 73, berkata, keanehan batu nisan berkenaan membuatkan penduduk kampung tertanya-tanya apakah fenomena sebenar di sebalik kejadian itu.

Katanya, batu sungai yang dijadikan nisan itu pada mulanya tidaklah setinggi dilihat kini dan perkara itu amat menghairankan penduduk.

“Kami percaya batu nisan itu hidup kerana di sini ada lagi beberapa kubur dipercayai daripada keturunan Tok Dusun yang diletakkan batu jenis sama untuk dijadikan nisan tetapi tidak pula meninggi.

“Sehingga kini, penduduk kampung berusaha mengesan identiti sebenar kubur lain yang dipercayai daripada keluarga Tok Dusun untuk mencari salasilah individu dikatakan bertanggungjawab membuka kampung yang turut dinamakan sempena namanya itu,” katanya ketika ditemui.

Sambil menunjukkan ketinggian sebenar batu nisan itu, Ahmad Nazri yang juga ‘orang lama’ di kampung berkenaan berkata, dia percaya kejadian pelik itu bukti hikmah dan kekuasaan Allah.

“Kita janganlah memikirkan yang bukan-bukan kerana apa yang berlaku adalah ketentuan-Nya.

“Sebagai hambaNya, kita mesti percaya pada apa yang berlaku dan jangan sekali-kali melakukan perbuatan menyalahi agama," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Dusun, Ibrahim Aziz, 58, berkata, disebabkan keganjilan yang berlaku itu, penduduk kampung kini berusaha menjaga kawasan tanah perkuburan berkenaan kerana khuatir kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab berbuat syirik di kubur itu.

Katanya, mereka tidak mahu sesuatu perkara khurafat yang menyalahi agama dilakukan di kawasan tanah perkuburan berkenaan apatah lagi di ‘kubur bernyawa’ itu.

“Kita sedia maklum benda pelik begini mudah dijadikan pihak cetek agama sebagai tempat melakukan perkara syirik seperti pemujaan nombor ekor dan sebagainya.

“Justeru penduduk kampung berusaha menjaganya supaya bebas daripada gangguan pihak tidak bertanggungjawab itu," katanya.

Ibrahim berkata, sehingga kini penduduk kampung masih tidak melihat sesuatu kejadian pelik berlaku di sekitar kubur berkenaan.

“Jika boleh, saya minta pihak berkenaan datang menjalankan kajian di sini untuk mengenal pasti identiti sebenar beberapa lagi kubur lain,” katanya.

Gadis 16 tahun rela serah tubuh demi satu tin Gam..

Gambar Hiasan
KUANTAN - Hanya bermodalkan satu tin gam berharga tidak sampai RM5, mana-mana lelaki boleh menikmati tubuh seorang gadis berusia 16 tahun yang sering berkeliaran di bandar ini dengan tujuan mahu mencari sesiapa yang boleh membekalkan bahan mengkhayalkan itu kepadanya.

Bukan setakat ringan-ringan, malah gadis yang sering dilihat mundar-mandir di Jalan Pasar dan Medan Warisan di sini, mudah dibawa ke mana saja termasuk ke ranjang asalkan ketagihannya terhadap gam dapat dihilangkan.

Berikutan ‘populariti’ gadis itu yang digelar ‘Minah Gam Ringan-Ringan’ oleh orang ramai yang mengenalinya..

Agak mengejutkan apabila mendapati dia bukanlah selekeh seperti digambarkan, malah mempunyai wajah agak menawan serta pandai bergaya, sekali gus langsung tidak menggambarkan dirinya penagih gam tegar.

Dalam perbualan dengan gadis itu yang hanya mahu dikenali sebagai Alia, dia mengaku tidak kisah dibawa ke mana saja asal diberi satu tin gam untuk melepaskan ketagihan manakala bayaran sekadar RM50 memadai jika ingin menidurinya.

“Kebiasaannya lelaki mengajak saya ke pusat karaoke di sekitar bandar ini kerana di situ agak selamat serta lebih terlindung daripada pandangan orang ramai.

“Tapi kalau di karaoke cuma boleh ringan-ringan sajalah, nak lebih daripada itu kenalah bayar tip sikit dan carilah tempat lebih sesuai,” katanya selamba.

Apabila ditanya mengenai latar belakang termasuk keluarga serta persekolahannya, Alia enggan menjawab dan mula menunjukkan rasa kurang senang, namun Harian Metro difahamkan dia sudah berhenti sekolah sejak ibu bapanya bercerai.

Ditanya sejak bila dia mula menagih gam, Alia cuma menggeleng-gelengkan kepala, namun memberitahu dia melakukan perkara itu hanya sekadar suka-suka.

Sementara itu, Penolong Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuantan, Mohd Aluwi Din mengakui pihaknya ada menerima maklumat mengenai beberapa kes membabitkan gadis seperti Alia. “Ada antara mereka sudah berjaya kami pujuk dan rujuk ke Bahagian Kaunseling untuk mengikuti proses pemulihan.

Kita perlu membantu golongan yang ketagihan gam ini, bukannya menghukum mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Katanya, kebanyakan remaja yang terbabit dengan kegiatan menghidu gam yang dirujuk ke AADK dibawa keluarga sendiri namun ada juga ditangkap ketika operasi dijalankan agensi berkenaan.

“Mereka diberi kaunseling selain menyediakan aktiviti berbentuk keagamaan dan kemasyarakatan supaya pulih daripada kesan menghidu gam yang boleh menjejaskan otak dan melemahkan ingatan.

“Ibu bapa yang menyedari anak mereka terjebak kegiatan menghidu gam tidak perlu malu untuk membawa remaja berkenaan kepada AADK supaya mereka dapat menjalani program pemulihan,” katanya.

Aluwi berkata, jika terlalu ketagih, penghidu gam akan hilang pertimbangan malah sehingga menjejaskan otak seterusnya menjadi gila, justeru tidak hairan sekiranya remaja perempuan yang menghidu gam boleh bertindak melampaui batas seperti menyerahkan kehormatan diri dan sebagainya.

Remaja caci Ustaz Azhar Idrus didalam Facebook..


Entah apa yang di dendamkan oleh remaja diatas sehingga beliau sanggup mencaci penceramah popular Ustaz Azhar Idrus.

Mungkin kenyataan Ustaz Azhar telah disalah tafsirkan sehingga menimbulkan keraguan didalam pemikiran remaja terbabit.

Walaupun demikian, tindakannya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penceramah tersebut amat tidak wajar dan sepatutnya tidak diulangi di masa hadapan.

Adakalanya, seseorang guru agama lebih gemar menggunakan bahasa kiasan berbanding menjawab sesuatu persoalan secara terus.

Jadi masyarakat dinasihatkan supaya meneliti maksud yang hendak disampaikan oleh penceramah sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Zahid Hamidi cabar PAS ambil tindakan terhadap Nizar.

BAGAN DATOH: PAS dicabar supaya mengambil tindakan tegas terhadap bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mempertikai tindakan Sultan Johor Sultan Ibrahim membida nombor plat WWW 1 menerusi laman twitternya.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata adalah memalukan jika parti itu tidak mengambil tindakan terhadap Mohammad Nizar dan ia menggambarkan parti itu 'bersekongkol' dan bersetuju mengenai kenyataan pemimpin mereka itu.

"Walaupun (Naib Presiden PAS) Salahuddin (Ayub) dan Ketua Pemuda PAS Nasrudin (Hassan) seolah-olah mahu lari daripada terlibat sama dalam masalah (Mohammad) Nizar tetapi mereka harus ikhlas mencadangkan kepada kepimpinan PAS supaya mengambil tindakan terhadapnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan baik pulih rumah sumbangan Affin Islamic Bank kepada 68 penerima berjumlah RM750,000 untuk Parlimen Bagan Datoh di sini, Jumaat.

Beliau berkata PAS boleh mengenakan tindakan supaya Mohammad Nizar tidak dibenar bertanding dalam pilihan raya kerana jika ada jawatan, banyak lagi kerosakan imej terhadap parti yang boleh dilakukan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu.

Ahmad Zahid berkata Mohammad Nizar telah lupa bahawa bidaan bernilai RM520,000 atas nombor plat oleh Sultan Johor itu akan disalur kepada rakyat.

"Baginda mengeluarkan duit peribadinya, itu merupakan duit pendapatan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pendapatan JPJ akan pergi ke akaun yang disatukan di bawah Kementerian Kewangan dan wang itu akan dikeluarkan semula untuk rakyat, bukan baginda menggunakan duit rakyat untuk kepentingan peribadinya, yang ini (Mohammad) Nizar lupa," katanya.

Sultan Johor Sultan Ibrahim memenangi bidaan untuk nombor plat WWW 1 pada harga RM520,000 dan kemudian Mohammad Nizar dalam Twitternya menyatakan bahawa jumlah wang yang besar itu boleh diguna untuk membantu orang Melayu yang miskin di negeri itu membeli rumah.

Rabu lepas, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilapor menafikan bidaan nombor plat WWW 1 oleh ayahanda baginda menggunakan wang rakyat. - BERNAMA

K-Pop itu haram.. - Ustaz Azhar Idrus

ALOR SETAR - Stadium yang mempunyai 44,000 tempat duduk dan 60,000 kapasiti padang dan trek di bandar ini penuh sesak apabila penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus memulakan ceramahnya walaupun hujan renyai-renyai petang kelmarin.

Orang ramai yang memenuhi stadium setia menunggu ceramah beliau bermula dan tidak kurang juga yang bersesak-sesak di luar dan juga yang terperangkap di jalan raya.

"Biasanya bila keluar simpang Alor Setar Utara dari lebuh raya, kita perlukan lima ke 10 minit sahaja tetapi saya perlukan 45 minit untuk sampai ke sini," beritahu Ustaz Azhar ketika memulakan ceramahnya.

Ceramah beliau yang berjalan kira-kira 45 minit itu sememangnya dinantikan oleh penduduk utara semenanjung yang selama ini mengenali beliau melalui videonya dalam youtube.

"Mereka bawa K-Pop untuk menarik anak muda, kita bawa ulama ke sini," kata Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hassan yang berucap sebelum Ustaz Azhar.

Ustaz Azhar dalam caramahnya juga menyentuh isu K-Pop dalam ceramahnya.

"K-Pop tu haram tetapi itulah yang disajikan kepada anak-anak belia oleh BN.."

"Semua hiburan tersebut melalaikan dan apakah kerajaan mahu belia-belia lalai dengan konsert seperti K-Pop yang artisnya mendedahkan aurat diatas pentas..?" ujar beliau.

Minggu lalu sepatutnya beliau berceramah di PICC Putrajaya namun dbatalkan di saat akhir apabila ceramah beliau bertembung dengan persembahan K-Pop di Hari Belia Negara 2012 di sana.

"Sepatutnya saya kuliah di PICC minggu lalu tetapi kerana bertembung degan K-Pop kuliah saya yang dibatalkan," kata Ustaz Azhar Idrus.

Selain ceramah Ustaz Azhar, majlis yag dinamakan Ekspresi Anak Muda itu turut diserikan dengan pelbagai ucapan yang semuanya berjalan dalam hujan.


Lelaki cina dipenjara setahun kerana hina Sultan Perak.

BUTTERWORTH – Seorang jurutera dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas dia didapati bersalah terhadap pertuduhan menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tiga tahun lalu.

Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajuddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Chan Hon Keong, 29, selepas meneliti fakta dan hujah yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan. Menurut Ikmal Hishan, kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius kerana ia turut melibatkan kepentingan awam.

“Ini (kes tersebut) satu-satunya kes menghina Sultan Perak yang dibicarakan secara penuh di mahkamah.

“Selepas meneliti, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun bermula hari ini (semalam) dan denda RM50,000. Jika tidak bayar, penjara lagi enam bulan,” katanya.

Ahli keluarga tertuduh termasuk isterinya, Khoo Hui Suang, 28, dilihat menitiskan air mata selepas mendengar keputusan hukuman. Pada 15 April lalu, Hon Keong mengaku tidak bersalah selepas didakwa bersama isterinya, Hui Suang kerana mengedar komen lucah menghina Sultan Perak melalui ruang siber.

Kedua-duanya didakwa melakukan perbuatan itu melalui laman web http:// books.dreambook.com/duli/ duli.html yang mempunyai pautan kepada laman web pejabat Sultan Perak iaitu www.sultan.perak.gov.my.

Laman web tersebut kini telah disekat daripada dilayari. Komen itu berunsurkan lucah dan menghina institusi diraja Perak.

Lagi bekas penjawat awam sertai PAS..

ALOR SETAR - Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Profesor Dr Nik Zain Nik Yusof menyerahkan borang menyertai PAS.

Penyertaan beliau menyertai PAS menambahkan lagi bilangan tokoh-tokoh pentadbir dan teknokrat yang menyertai parti Islam itu menjelang pilihan raya umum ke 13.

Nik Zain adalah KSU sejak 1998 hingga 2002 di KTDPK. Beliau menyerahkan borang menyertai PAS kepada Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di depan lebih 100,000 ahli dan penyokong PAS di Stadium Darul Aman.

Sebelum ini, Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari menyertai PAS.

Kedua-dua mereka berjanji akan menghabiskan sisa umur mereka untuk perjuangan Islam.

Bukan mudah nak tawan Putrajaya.. - Mohd Sabu.

ALOR SETAR - Mudah sahaja nak sebut menuju ke Putrajaya, tapi jalannya penuh liku, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas sebelum melancarkan derma kilat untuk dana pilihan raya di Himpunan Hijau Ke Putrajaya, di Kompleks PAS Kota Sarang Semut.

"Kita nak lalu lebuh raya supaya cepat sampai di Putrajaya. Untuk buat lebuh raya, semak samun perlu ditebas," kata beliau di hadapan kira-kira 2,000 ahli yang hadir.

PAS menangguhkan muktamar tahunannya dan digantikan dengan himpunan ini bagi memberi fokus kepada pilihan raya umum ke-13 yang akan berlangsung pada bila-bila masa sahaja.

Mohamad berkata, bagi menawan Putrajaya, PAS memerlukan dana yang banyak bagi memperkemas gerak kerja pilihan raya di peringkat pusat.

"PAS memerlukan dana yang banyak jadi saya harap banyak dana dapat dikumpulkan. Wang bukan segala-galanya tapi segala-galanya perlukan wang," katanya lagi.

Himpunan Hijau diisi dengan ucapan ketua-ketua Dewan Ulamak, Pemuda, Muslimat dan Himpunan Penyokong PAS dan dilengkapi dengan amanat Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Petang pula program tersebut diteruskan di Stadium Darul Aman dengan kuliah Ustaz Azhar Idrus, pidato anak muda dan sketsa dari selebriti Bob Lokman.

Pada sebelah malamnya diisi dengan acara kemuncak iaitu munajat perdana dan ceramah pimpinan utama PAS pusat.
 

Copyright © 2011. UtaraNews - The News Portal - All Rights Reserved