PAS perlu tinggalkan Anwar demi akidah - Hasan Basri


Pas perlu segera meninggalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Ketua Pembangkang itu ternyata konsisten menyokong keselamatan negara Israel, sesuatu yang diharamkan Islam sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran.

Bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohd. berkata, sokongan kepada Israel bukan isu perbezaan pendapat tetapi ia isu akidah dan Pas tidak boleh lagi seiring dengan Anwar, apatah lagi mengiktirafnya sebagai Ketua Pembangkang.

Sambil melahirkan kekecewaan terhadap kenyataan rasmi Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang disifatkannya sebagai 'kenyataan selamat' beliau berkata, dalam isu Israel, Pas tidak boleh mendahulukan kepentingan politik berbanding tuntutan akidah.

"Allah telah menjelaskan dengan terperinci dalam surah al-Baqarah dan al-Ma'idah mengenai Israel, ini bukan isu perbezaan pendapat mahupun soal kemanusiaan, ini soal akidah bagi umat Islam dan menyokong sesuatu yang haram adalah perbuatan haram.

"Anwar bukan sahaja menyokong, malah beliau konsisten mempertahan sokongan tersebut di mana Pas berada dalam jemaah itu. Ini soal akidah, dalam bab ini Islam menuntut kita bermufarakah (meninggalkan) pemimpin yang menentang tuntutan akidah.

"Tindakan Pas sekadar menyatakan pendirian tidak cukup kerana mereka masih lagi bersama. Malah saya kecewa dengan 'kenyataan selamat' Pas yang dilihat lebih mementingkan undi berbanding akidah," katanya kepada Utusan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa Pas tidak akan sesekali mengiktiraf Israel kerana ia perbuatan haram selepas Mursyidul Am itu mengadakan pertemuan dengan Anwar bagi mendengar penjelasan mengenai sokongannya terhadap negara Yahudi.

Bagaimanapun, berbeza dengan nada keras sebelum ini yang memberi kata dua kepada Anwar, Nik Abdul Aziz memberitahu yang beliau memahami penjelasan ketua pembangkang dan terserah kepadanya untuk menerima pendirian Pas atau sebaliknya.

Mengulas lanjut, Hasan Basri berkata, jika dalam isu yang membabitkan akidah itu pun Pas gagal untuk mengambil langkah sebagaimana disarankan Islam, kerjasama parti itu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kononnya demi memperjuang Islam hanya sia-sia.

"Kita kena kembali kepada al-Quran, jangan gadaikan akidah semata-mata demi kepentingan politik. Konsep kerjasama ini sepatutnya meletakkan Islam sebagai keutamaan tetapi jika dalam isu Israel pun Pas tidak boleh tangani, macam mana nak tegakkan Islam?

"Anwar jauh tersasar dan pemimpin sebegini tidak boleh dianggap imam kepada jemaah. Sebab itu, Islam menyarankan kita supaya bermufarakah pemimpin sebegini kerana jika terus bersama hanya kerana undi, kita terpalit sama," katanya.
share

2 comments

  1. Anonymous says:

    ulas lah lebih sikit "maksud ayat dalam surah al Baqarah dan al Maidah........yang mengoncang akidah "mengenai yahudi tu" sbb nak buat analisis ni........tlg Hasan Basri komen dgn lebih ditil

  2. Anonymous says:

    Yang kamu pergi letak perjuangan melayu dan raja sama dengan Islam tu tak menggugatkan aqidah ke?

Leave a Reply

Copyright 2014 UtaraNews.com - All rights reserved - .