Pemuda Pas Kedah memberi kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calonnya yang layak bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Ketuanya, Ahmad Yahya berkata, mereka bersependapat dengan kepimpinan parti yang berhasrat meletakkan calon berpotensi menang di sesuatu kawasan sama ada Parlimen atau Dun.
Menurutnya, pada PRU12, calon Pemuda bertanding di lima kerusi dan menang tiga tempat iaitu Parlimen Padang Terap dan Jerai serta satu kerusi Dun Bukit Lada.
“Pengundi muda semakin bijak memilih calon yang mampu menerajui kepimpinan di sesuatu kawasan, tidak semestinya hanya terdiri daripada calon Pemuda boleh menarik sokongan mereka.
“Sebaliknya calon sedia ada dilihat masih mampu memikul amanah tetap menjadi pilihan, sekiranya boleh memberi kemenangan pada parti,” katanya.
Beliau berkata, sejak dulu Pemuda berperanan menyediakan pelapis kepada kepimpinan parti serta membantu daripada segala aspek untuk menggerakkan jentera parti agar sentiasa seiring dengan dasar parti.
“Bagaimanapun kita sentiasa bersedia serta mengalu-alukan pelawaan jika ada permintaan pucuk pimpinan untuk menambah lebih ramai wakil Pemuda sebagai calon PRU13,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad berkata, sehingga kini pelbagai pendekatan digunakan untuk menjejaki pengundi muda yang berada di luar dan dalam Kedah bagi meraih sokongan mereka terhadap Pas.



Post a Comment