ALOR SETAR - Kerajaan Negeri menafikan kolej miliknya, Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) bakal diswastakan, seperti didakwa Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.Exco Pelajaran, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, perkara itu tidak pernah dibangkitkan dalam mana-mana Mesyuarat Pengurusan Lembaga Insaniah sebelum ini.
“Jika benar Insaniah bakal diswastakan, pasti perkara itu dibawa bincang dalam mesyuarat dahulu. Perkara penting seperti itu pasti dimaklumkan terlebih dahulu kepada ahli lembaga untuk persetujuan, ia bukan mudah,” katanya.
Menurutnya, setakat ini, pihaknya tidak menerima tawaran daripada mana-mana pihak termasuk sebuah syarikat swasta bertaraf antarabangsa seperti didakwa untuk mengambil alih pengurusan Insaniah.
“Tiada tawaran untuk mana-mana syarikat ambil alih pengurusan Insaniah, termasuk jalin kerjasama dalam pengurusannya,” tegasnya.
Mohamed Taulan berkata, sekiranya surat tawaran dikemukakan kepada Menteri Besar, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Insaniah, ia mesti dibawa dalam mesyuarat untuk dibincangkan.
“Jika ada surat tawaran pun, tidak semestinya kita setuju. Jika ada pihak berminat tetapi kita tolak, ianya tak akan jadi kenyataan,” katanya.
Menurutnya, Mesyuarat Lembaga Pengarah Insaniah diadakan dua bulan sekali dan dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
“Jika MB tak sihat, mesyuarat tak dapat diadakan dalam masa terdekat,” katanya. Mohamed Taulan berkata, isu ini tidak sepatutnya timbul ekoran perkara itu langsung tidak pernah disebut Rektor Insaniah, Profesor Datuk Dr Jamil Osman pada perjumpaan sebelum ini.
“Mungkin Mahdzir dengar khabar angin atau dapat maklumat yang belum sahih. Jika ada pihak berminat, itu bukan cadangan,” katanya.
Mohamed Taulan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Insaniah turut menafikan syarikat swasta berkenaan sudah mengemukakan surat tawaran kepada Kerajaan Negeri berkaitan pengambilalihan itu dua bulan lalu.
Dr Jamil bagaimana pun gagal dihubungi bagi mendapatkan reaksinya.


Post a Comment