.

Jerebu semakin teruk di P.Pinang..

Keadaan berjerebu yang dikesan di beberapa kawasan di Pulau Pinang sejak beberapa hari lepas bertambah teruk hari ini yang berpunca dari kebakaran yang berlaku di Sumatera.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh berkata Pulau Pinang dilanda jerebu tahap sederhana dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) sekitar 76 hingga 96 sehingga pukul 11 pagi tadi berbanding hanya 64 hingga 94 pada pukul 5 petang semalam.

“Di Sumatera terdapat lebih 200 kawasan yang mudah terbakar semasa cuaca panas dan angin monsun membawa asap kebakaran itu melintasi sempadan Semenanjung termasuk negeri ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya bacaan IPU di kawasan Seberang Jaya mencatat 96 pada pukul 7 pagi hingga 11 pagi dengan jarak ketampakan dua kilometer.

Sementara IPU di Perai menujukkan berkadar 85 pada pukul 7 pagi hingga 11 pagi dengan jarak ketampakan enam kilometer dan di Bayan Lepas IPU direkodkan meningkat menjadi 68 pada pukul 11 pagi berbanding 66 pada pukul 7 pagi dengan jarak ketampakan empat kilometer.

Namun Phee berkata keadaan itu dijangka pulih minggu depan berikutan hujan yang dijangka turun di beberapa kawasan.

“Bagaimanapun, penduduk di saran mengelak dari ditimpa air hujan kerana ia menyerap jerebu dan berkemungkinan mengandungi asid serta boleh memudaratkan kesihatan,” katanya.

Phee turut menasihati orang ramai mengurangkan aktiviti rekreasi di luar rumah dan menggalakkan penggunaan kenderaan awam bagi mengurangkan pencemaran udara.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya minum banyak air berikutan cuaca kering melanda di negeri ini sejak beberapa hari lepas,” katanya.

Sementara itu, di Kuala Lumpur Jabatan Alam Sekitar (Jas) melaporkan jumlah titik panas meningkat tiga kali ganda daripada 88 pada Jumaat lepas kepada 239 titik panas semalam berikutan bilangan pembakaran terbuka yang tidak terkawal itu.

Kenyataan itu berkata, 28 kawasan mencatat kualiti udara sederhana, antaranya Langkawi, Kedah yang mencatat bacaan IPU 97; Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah (96); Seberang Jaya 2, Perai, Pulau Pinang (96); Kuala Selangor, Selangor (87); Nilai, Negeri Sembilan (87), Cheras, Kuala Lumpur (83); dan Bukit Rambai, Melaka (73).

Selain itu, orang ramai juga boleh memberi kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jas di talian 1-800-88-2727.
Share this post :

Post a Comment

Facebook Fanpage

Networked Blog

 

Copyright © 2011. UtaraNews - The News Portal - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger