Penduduk perumahan Kompleks Jalan Kedah membantah tindakan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang meminta mereka supaya membayar 20 peratus daripada kos pengecatan semula bangunan berkenaan.
Mereka yang terdiri daripada 2,000 penghuni perumahan berkenaan meminta Kerajaan Negeri menanggung sepenuhnya kos mengecat seperti yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Pengerusi Badan Pengurusan Kompleks berkenaan, Tay Chye Hock berkata, masalah timbul apabila ada pemilik flat berkenaan enggan membayar untuk kerja mengecat semula bangunan setinggi 22 tingkat itu.
Menurutnya, pihaknya telah menerima notis daripada PDC meminta setiap pemilik rumah membayar RM182.25 untuk kerja mengecat bangunan sebelum 21 Ogos ini.
“Jawatankuasa Lembaga Tender PDC mahu mengecat semula tetapi tertakluk kepada perkongsian kos iaitu 80 peratus ditanggung PDC manakala 20 peratus ditanggung pemilik sendiri.
“Tidak semua pemilik bersetuju sebaliknya mereka meminta supaya kerajaan negeri yang menanggung semua kos berkenaan,” katanya selepas demonstrasi aman, semalam.
Chye Hock berkata, kali terakhir kompleks itu dicat adalah 10 tahun lepas dan kosnya ditanggung sepenuhnya kerajaan BN ketika itu. Katanya, segelintir penduduk melahirkan rasa tidak puas hati kerana ketika Pengerusi BN,
Teng Chang Yeow menjadi wakil rakyat kawasan itu lebih 10 tahun lalu, kos mengecat bangunan itu ditanggung sepenuhnya.
“Penduduk berasa pelik kerana pecahan kos mengecat keseluruhan bangunan ini yang perlu dikongsi bayar hanya bernilai RM65,610.00 sahaja dan mempersoalkan apakah kerajaan DAP Pulau Pinang tidak berkeupayaan untuk membayarnya berbanding kerajaan BN dahulu.
“Ada juga penduduk yang mahu membayar sebanyak RM182.25 tetapi semua pemilik lain juga perlu berbuat demikian,” katanya.
Chye Hock berkata, sekiranya Kerajaan Negeri menanggung kos mengecat semula bangunan itu, ia tidak merugikan kerana Majlis Perbandaran Pulau Pinang memiliki 100 unit rumah di situ selain 63 unit dimiliki kerajan negeri yang disewakan.
Katanya Kerajaan Negeri perlu mengambil kira kepentingan kompleks itu yang terletak di kawasan Bandar Warisan dan tarikan pelancong.



Post a Comment