.

Pakatan terbukti takut dengan Janji Ditepati.. - Mukhriz

Pakatan pembangkang takut dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu '55 Tahun Merdeka Janji Ditepati' kerana mereka tidak pernah menepati janji yang ditaburkan kepada rakyat sebelum ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, ini berbeza dengan kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang sentiasa menepati janji kepada rakyat sejak 55 tahun negara merdeka.

"Sejak dahulu BN sentiasa mengotakan janji kepada rakyat, sebaliknya dalam tempoh empat tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, kita boleh nampak segala manifesto pakatan pembangkang tidak ditunaikan.

"Berhubung isu ini juga kita boleh nampak macam tidak wujud kesepakatan antara mereka untuk buat satu perkara paling mudah iaitu tema untuk meraikan Hari Kemerdekaan," katanya selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di Dewan Kodiang, semalam.

Beliau mengulas keengganan pakatan pembangkang yang mentadbir empat negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan untuk menggunakan slogan 'Janji Ditepati' sebagai slogan Hari Kemerdekaan negara pada tahun ini.

Kerajaan negeri Kedah pimpinan Pas menggunakan tema 'Terus Berbakti', Kerajaan Pas Kelantan menggunakan 'Menerajui Perubahan' sementara Kerajaan DAP Pulau Pinang dan Kerajaan PKR Selangor akan menggunakan tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.

Mukhriz seterusnya mahu pakatan pembangkang menjelaskan maksud tema Hari Kemerdekaan yang akan digunakan oleh pembangkang iaitu 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.

"Sebelum ini 1Malaysia pembangkang kata ciplak daripada Malaysia Malaysian, jadi sebangsa pun kita nak tahu juga apa erti dan maksudnya. Adakah sebangsa ini maksud kesamarataan seperti yang mereka uar-uarkan sebelum ini?

"Ini kerana dalam dunia yang tak sama rata ini kita agak pelik bagaimana mereka nak laksanakan sesuatu yang dah memang jadi kelaziman manusia," ujarnya.

Kata Mukhriz, sebagai contoh dalam satu keluarga pun ada yang berada dan kurang berada apatah lagi dalam masyarakat.

"Jadi, saya rasa yang pembangkang guna slogan ini semata-mata hanya untuk tarik perhatian rakyat," jelasnya.
Share this post :

+ comments + 1 comments

14 August 2012 14:56

dia pun macam bapak dia jugak lah.rajin merapu.

Post a Comment

Facebook Fanpage

Networked Blog

 

Copyright © 2011. UtaraNews - The News Portal - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger