.

Seluruh kawasan Perak akan terima bekalan air bersih.

Lembaga Air Perak (LAP) sedang berusaha memastikan kawasan yang belum mendapat bekalan air bersih akan menerimanya dalam masa terdekat ini.

Pengurus Besar LAP Datuk Mohd Yusof Isa berkata masih ada kawasan-kawasan di negeri ini yang belum mendapat bekalan air bersih kerana beberapa masalah.

Beliau berkata pihak LAP akan memastikan rakyat dan pengguna di negeri ini mendapat kemudahan bekalan air bersih yang diselenggarakan LAP, kecuali di kawasan pedalaman yang berbukit.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas projek perasmian bekalan air bersih di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraati Addin di Kampung Simpang Perak, di sini.

Projek yang menelan kos RM153,850 sepanjang 3.6 km itu disempurnakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali.

Seramai 28 penghuni Mahaad Tahfiz itu dan 30 keluarga di Kampung Simpang Perak akan dapat menggunakan bekalan air bersih mulai hari ini.

Mudir Mahaad Tahfiz, Mohd Fakri Abdullah Zawawi, 40, bersyukur kemudahan bekalan air bersih telah disediakan selepas lebih 10 tahun mereka terpaksa menggunakan bekalan alternatif seperti air telaga dan air sungai.

Sementara itu, Tajol Rosli bersyukur kerana projek itu dapat disiapkan segera dan menepati slogan janji ditepati yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini. - Bernama
Share this post :

Post a Comment

Facebook Fanpage

Networked Blog

 

Copyright © 2011. UtaraNews - The News Portal - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger