Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail perlu bertegas dan bertindak segera bagi membersihkan imej kepimpinan parti itu yang terpalit dengan isu skandal seks termasuk membabitkan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain isu video seks didakwa melibatkan Anwar sebagai penasihat parti, persepsi negatif orang ramai terhadap PKR juga semakin parah apabila Wan Azizah dilihat terus berdiam diri berhubung isu video seks yang dikaitkan dengan timbalannya, Azmin Ali baru-baru ini.
Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin berkata, Wan Azizah selaku presiden parti tidak harus takut untuk melakukan siasatan dalaman menyeluruh berkenaan skandal seks yang didakwa terhadap Anwar dan Azmin.
"Sebagai parti politik yang mahu dilihat berwibawa dan bercita-cita memerintah Malaysia, Wan Azizah perlu terlebih dahulu membersihkan imej kepimpinan tertinggi PKR yang semua tahu terpalit dengan isu seks serta menjijikkan.
"Bukti video seks membabitkan Anwar dan Azmin telah banyak tersebar di internet dan tindakan PKR yang hanya berdiam diri tanpa melakukan siasatan membuatkan orang ramai berfikiran segala dakwaan itu adalah benar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas gesaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) semalam supaya Wan Azizah memulakan inisiatif menyiasat video seks dikaitkan dengan Azmin baru-baru ini serta dakwaan skandal seks di antara Anwar dengan isteri Azmin, Shamsidar Taharin seperti didakwa bekas rakan baik Anwar, Datuk S. Nallakaruppan.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd. Rahman pula memberitahu, tindakan berdiam diri Wan Azizah dan PKR selama ini berhubung kedua-dua isu itu tidak membawa sebarang keuntungan terhadap parti tersebut.
Katanya, tanpa siasatan dalaman, PKR dilihat cuba menyorokkan isu tersebut ibarat 'menyapu sampah di bawah permaidani' sambil mengharapkan isu itu mati dengan sendirinya.
"PKR banyak membicarakan mengenai keadilan dan kesaksamaan tetapi dilihat kurang berintegriti apabila tidak langsung membicarakan isu dakwaan seks tersebut secara terbuka atau melakukan siasatan menyeluruh mengenainya," katanya.



+ comments + 1 comments
UMNO pula perlu dibersihkan dengan dihumban ke dalam kawah gunung berapi.... terlalu kotor hingga tiada pencuci yang sesuai melainkan lahar gunung berapi.
Post a Comment