Kesatuan Pekerja Bernas Malaysia (KPBM) meminta supaya Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) melanjutkan had umur persaraan kakitangannya kepada 60 tahun bermula tahun depan.
Presidennya Mashitoh Abu Seman berkata pihak kesatuan telah membawa perkara tersebut kepada pihak atasan dan hanya menunggu masa untuk dipertimbangkan oleh anggota lembaga pengarah Bernas.
Katanya permintaan berkenaan dibuat hasil kajian pihaknya sebelum ini memandangkan menjelang 2015, semua kakitangan Bernas yang berasal daripada Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) bakal bersara.
"Bernas kini hanya mengambil kakitangan baru secara kontrak dan ramai kakitangan lama di syarikat tersebut bakal pencen dari masa ke semasa," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Agung KPBM di sini hari ini.
Majlis perasmian mesyuarat agung tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.
Pada majlis itu Mashitoh yang mewakili persatuannya turut menyerahkan memorandum sokongan kepada kerajaan persekutuan yang melanjutkan umur persaraan petugas awam dari 58 tahun kepada 60 tahun. - Bernama



Post a Comment