Ceramah anti-DAP 'Kenangan mengusik jiwa DAP' oleh empat orang mantan ahli parti itu amat dinanti-nantikan kerana pelbagai pekung lama dijangka akan dibuka kepada orang ramai.
Bagaimana pun, wartawan yang mendengar ceramah mereka selama hampir dua jam kecewa kerana tiada pendedahan menggemparkan kerana cerita yang disampaikan telah dilaporkan secara meluas oleh media sejak dahulu lagi.
Empat penceramah utama pada sesi menghentam DAP itu mantan senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, bekas pembantu sukarela kepada pengerusi DAP Selangor, Tan Chee Chong, ahli jawatankuasa perhubungan Parlimen Sepang yang dipecat Tan Tuan Tat dan bekas ahli yang dipecat Yap Kon Ming.
Tiga bekas ahli daripada Selangor menceritakan pengalaman mereka di peringkat negeri, memburuk-burukkan kepimpinan Teresa Kok dengan Tan membuat hadirin ketawa apabila menayang baju-T bertulisan 'Jangan Fitnah'.
Tunku Aziz pula mensasarkan Lim anak-beranak - ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang disifatkan sebagai 'ahli politik payung terjun'.
Akhirnya, ceramah dihadiri kira-kira 500 orang di Dewan Leong See Kah Miew di Pulau Pinang semalam sekadar mengingatkan hadirin sebab mereka berempat meninggalkan DAP.
Malah, Tunku Aziz yang merupakan bekas pengerusi Transparency-International Malaysia yang meninggalkan DAP dengan penuh dramatik selepas menjadi ahli dengan penuh penghormatan, gagal menawan hadirinwalaupun beliau diberi sambutan umpama bintang.



Post a Comment