.

Harimau Muda mengintai Eropah.

PETALING JAYA - Perkara yang baik dan bawa manfaat harus diteruskan, kata jurulatih skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee (gambar) mengenai perancangan pasukannya sebaik sahaja berakhir saingan Liga Singapura.

Pengendali yang membawa skuad Bawah 23 tahun negara mempertahankan pingat emas Sukan SEA tahun lalu berkata, sekurang-kurangnya anak buahnya perlu berada di sana dalam tempoh enam bulan bermula awal tahun depan.

"Selepas enam bulan pemain akan pulang semula ke tanah air berehat dan pergi semula untuk tempoh tiga bulan lagi, seterusnya mengadakan perlawanan antarabangsa dengan skuad bawah 23 tahun negara Eropah," katanya ketika ditemui media di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin.

Katanya, berada di Eropah membolehkan pasukannya membuat persiapan yang lebih teliti sebelum turun beraksi di Sukan SEA Myanmar hujung tahun depan untuk cuba melakukan hatrik memenangi pingat emas dalam acara bola sepak.

Kim Swee memberi contoh beraksi di Eropah terutamanya di Slovakia banyak memberikan impak positif pada pasukannya termasuk berjaya mempertahankan pingat emas Olimpik dan mara ke pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2012 London.

"Sekarang ini belum ada keputusan muktamad sama ada pasukan saya ini bakal mendapat lampu hijau untuk kembali ke Eropah, ia masih lagi di peringkat cadangan dan sudah dimaklumkan kepada pihak pengurusan FAM.

"Bagaimanapun saya rasa masih belum terlambat untuk membuat perancangan, pasukan saya ini perlu sekurang-kurangnya 15 hingga 20 perlawanan kompetitif dan perlawanan menentang skuad kebangsaan Bawah 23 Eropah," katanya.

Tambahnya, tahun depan tidak banyak kejohanan yang bakal disertai oleh pasukannya kecuali Sukan SEA 2013 Myanmar, bagaimanapun dia mengakui pendedahan di awal musim sangat penting untuk persiapan rapi pasukannya.

Hari ini skuad bawah 22 tahun negara bimbingan Kim Swee akan menentang Brunei dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium UiTM Shah Alam dan ia adalah persiapan terbaik menjelang Piala SCTV Ahad ini.

Piala SCTV bakal menemukan skuad Bawah 22 tahun negara bertemu dengan pasukan bawah 23 tahun Indonesia di Jakarta. Kedua-dua pasukan dijangka bakal menurunkan pemain yang akan beraksi di Sukan SEA 2013 Myanmar.
Share this post :

Post a Comment

Facebook Fanpage

Networked Blog

 

Copyright © 2011. UtaraNews - The News Portal - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger