PENDEKATAN yang salah menyebabkan kebudayaan dan hiburan dipandang serong oleh sesetengah masyarakat Islam masa kini.
Penyanyi, Aishah berkata, pelaksanaan yang tidak tepat, menjadikan hiburan satu kerjaya yang tidak baik, sehingga ia jatuh kepada haram.
Menurutnya, sesetengah penghibur tidak menutup aurat dan bergaul secara bebas, merupakan satu perkara yang dilarang.
“Kesenian dan hiburan di dalam jiwa saya, masih utuh meskipun bergiat aktif dalam parti politik.
“Tidak bermakna setelah bergiat dalam parti politik, kita perlu menolak kebudayaan secara menyeluruh,” katanya, selepas majlis Kebudayaan Kesenian Wanita Dewan Undangan Negeri Tendong, Kelantan semalam.
Menurutnya, sekiranya semua pihak dalam industri hiburan bersatu, hiburan Islam, pastinya akan membentuk masyarakat berkasih sayang malah mesej keamanan mudah disebarkan sehingga seluruh dunia.
Aishah atau nama sebenar, Wan Aishah Wan Ariffin berkata, bermula dari penulis lagu, lirik dan komposer, ia pasti dapat mendekati generasi muda seterusnya mendidik mereka menjadi khalifah yang soleh dan solehah.
Katanya, beliau turut berusaha mendidik masyarakat menukar konsep hiburan, dengan tidak ditonjolkan secara keterlaluan, tetapi berlandaskan al-Quran dan sunnah.
Sementara itu, Penyelia Dun Tendong, Rozi Muhamad berkata, semua lapisan masyarakat gemarkan kesenian dan kebudayaan, namun konsep yang salah menjadikan hiburan sebagai suatu perkara yang terhad untuk dipelajari.
“Masyarakat bukan Islam meletakkan kita sebagai bangsa yang ortodoks kerana beranggapan bencikan hiburan dan kebudayaan.
“Hiburan perlu dilaksanakan mengikut acuan Islam dan tidak menyimpang kepada batas-batas yang boleh memudaratkannya,” katanya, semalam.



Post a Comment