KLUANG: Bimbang diketahui keluarga, seorang lelaki berusia 20 tahun nekad merempuh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) sebelum terjun dari tingkat satu sebuah hotel bajet di sini, untuk mengelak ditahan, pagi semalam.Lelaki terbabit kemudian melarikan diri sejauh 300 meter dari hotel terbabit sebelum berjaya ditahan selepas kepenatan.
Ketika mendedahkan perkara itu, Pegawai Tadbir Agama Islam JAJ Daerah Kluang, Khalil Mohd Noor berkata, serbuan dijalankan jam 5 pagi.
“Kami mengetuk pintu bilik sebuah hotel bajet sebelum ia dibuka. Kami kemudian mendapati penyewa bilik yang juga seorang lelaki serta remaja perempuan berusia 18 tahun tidak mempunyai hubungan mahram.
“Ketika pemeriksaan, lelaki terbabit tiba-tiba merempuh beberapa penguat kuasa sebelum nekad terjun dari tingkat satu hotel berkenaan,” katanya di lokasi kejadian.
Menurut Khalil, ketika kejadian, beberapa penguat kuasa menunggu di bawah hotel itu sebagai langkah berjaga-jaga.
Penguat kuasa bagaimanapun gagal menahan lelaki terbabit yang terus melarikan diri sejurus terjun.
“Kami mengejarnya yang melarikan diri di jalan raya. Ketika itu, keadaan sekitar sunyi dan dia berjaya ditahan 300 meter dari hotel.
“Lelaki terbabit tidak cedera akibat terjun, malah berpakaian lengkap ketika melarikan diri,” katanya.
Menurut Khalil, pemeriksaan mendapati pasangan terbabit belum bekerja, malah remaja perempuan itu tinggal dua kilometer dari hotel berkenaan.
“Pasangan terbabit mendakwa tidak melakukan apa-apa di bilik itu, malah hanya berada di situ semata-mata untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan.
“Kedua-duanya kemudian dibebaskan selepas diikat jamin oleh keluarga masing-masing,” katanya ketika ditemui, semalam.


Post a Comment