Susulan pendedahan rakaman suara dalam mesyuarat PKR Pulau Pinang seperti yang disiarkan sebuah televisyen malam kelmarin, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman ‘diserbu’ media bagi mendapatkan pengesahan terhadap rakaman suara itu.
Mansor yang menghadiri Majlis Penyerahan Pampasan kepada penduduk yang terlibat dengan projek Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (Fasa 3) bagai sudah menduga kehadiran media di majlis berkenaan untuk mendapatkan pengesahannya berhubung isu itu.
Beliau yang enggan mengadakan sidang media secara teratur dilihat seolah-olah ingin melarikan dari media namun berjaya ‘dihalang’ untuk berbuat demikian.
Ketika ditanya berhubung pendedahan rakaman suara itu, Mansor menafikan beliau melabel Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebagai angkuh dan sombong dalam mesyuarat terbabit.
Beliau juga enggan menjawab sama ada rakaman terbabit tulen dan suara di dalam rakaman itu adalah miliknya.
“Jawapan saya ialah, pilihan raya umum sudah dekat. Itu sahaja jawapan yang saya boleh beri. Saya rasa itu jawapan yang baik,” katanya kepada media semalam.
Setelah didesak, Mansor kemudiannya mengakui rakaman itu dikeluarkan orang partinya sendiri yang menghadiri mesyuarat berkenaan pada 15 April lalu.
“Orang yang hadir itu la siapa lagi.
Kamu semua pun tahu kan? Ini adalah urusan parti. Parti akan mengambil tindakan ke atas individu yang mengeluarkan rakaman itu,” katanya.
Menjawab soalan media berhubung kenyataannya yang mengesyaki ada pihak menawarkan ganjaran untuk mendapatkan rakaman itu, Mansor mengakui ada mengeluarkan kenyataan itu dalam sebuah suratkhabar berbahasa Inggeris kelmarin.
“Ya, memang saya ada tanya kepada suratkhabar itu, berapa banyak individu berkenaan dibayar untuk dedahkan rakaman itu. Cukuplah saya tidak mahu komen lagi,” katanya.
Isu ini hangat diperkatakan media serta blog sejak Ogos lalu apabila beberapa dokumen yang didakwa sebagai 'Minit Mesyuarat Strategik PKR PP' dibocorkan dan tersebar.



Post a Comment