Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyasarkan untuk menaik taraf politeknik menjadi sebuah kolej universiti pada 2015.Ketua Setiausahanya, Datuk Ab. Rahim Md. Noor berkata, pelaksanaan ke arah usaha naik taraf itu telah bermula pada tahun ini melalui program ijazah di Politeknik Ungku Omar, Perak dengan kerjasama beberapa institusi pengajian tinggi awam.
Beliau berkata, ia akan dilaksanakan di dua lagi politeknik premier iaitu Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dan Politeknik Ibrahim Sultan, Johor.
"Ia seterusnya akan memberi peluang kepada graduan diploma politeknik untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di politeknik yang sama," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis konvokesyen ke-12 Politeknik Seberang Perai di sini baru-baru ini.
Seramai 3,078 pelajar menerima diploma dan sijil masing-masing pada istiadat konvokesyen yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 September itu.
Pada majlis itu, tiga graduan cemerlang mengikut sesi diumumkan iaitu Muhammad Zayid Rahman dari jurusan Diploma Akauntansi sesi Disember 2010, graduan Diploma Pengajian Perniagaan (Pengurusan) sesi Disember 2011 Ezrai Hairi Kamaruddin dan bagi sesi Jun 2011, Shamy Nazrein Md. Yahaya pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Loji).
Jelas Ab. Rahim, kolej universiti politeknik di bawah Agenda Transformasi Politeknik ini dilihat mampu membina upaya politeknik untuk membangunkan sumber manusia negara yang memenuhi keperluan model baru ekonomi yang berasaskan inovasi dan kreativiti.
Dalam pada itu menyentuh mengenai portal alumni di institusi pengajian tinggi, beliau berkata, portal tersebut adalah satu platform terbaik untuk mengumpul alumni-alumni yang telah berjaya.
Ab. Rahim berkata, dengan adanya portal berkenaan alumni boleh menjadi mentor kepada mahasiswa yang baru menempuh alam universiti, selain berkongsi pengalaman berhubung alam pekerjaan kepada para graduan yang baru menamatkan pelajaran.
"Memang kita ketahui kalau gerakan alumni di seluruh institusi pengajian tinggi dilaksanakan dengan berkesan setiap institusi sama ada IPTA, IPTS malah politeknik dan kolej komuniti akan menjadi institusi yang begitu gemilang di masa hadapan," ujarnya yang turut melancarkan portal alumni PSP.


Post a Comment