Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi menyokong kuat agar Pas dan Umno menjalin kerjasama demi perpaduan umat Islam dan ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dijadikan realiti.
Menurutnya, jika dilihat dari sejarah, Pas dan Umno sendiri pernah berada dalam kerajaan campuran pada awal 1970-an.
“Saya menyokong kuat supaya Umno dan Pas menjalin kerjasama, tetapi bukanlah dalam konteks bersatu tetapi jalinkan kerjasama.
Jadi apa salahnya?” katanya kepada media,semalam.
Sebelum ini, beberapa pemimpin Umno menyambut baik dan menerima secara positif saranan Ahli Majlis Syura Pas, Nasharudin Mat Isa yang mahu merencanakan semula perpaduan umat Islam terutamanya melibatkan Umno dan Pas.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Umno tidak pernah menolak kemungkinan bekerjasama dengan Pas demi perpaduan ummah.
Sebelum ini, Nasharudin mengingatkan Pas supaya tidak terlalu mengejar kuasa hingga sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.
Nasharudin berkata, masalah perpecahan umat Islam yang sepatutnya menjadi keutamaan sering dilupakan sedangkan ia adalah masalah yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Beliau berkata, kemenangan Islam dalam perjuangan mendaulat agama suci itu berada dalam tangan umatnya sendiri, bukan dengan bantuan orang bukan Islam.
Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, isu perpaduan yang dilihat Pas ialah dari kaca mata politik semata-mata dan ini harus dielakkan jika benar-benar mahu menjalin kerjasama serius bersama Umno.
“Umno sentiasa bersikap terbuka, bukan tertutup kerana kita sendiri bersikap terbuka semasa mewujudkan kerajaan campuran pada tahun 1973, jadi jika benar mahu jalinkan kerjasama dengan Umno, ia bukan sesuatu yang mustahil,” tegasnya.



+ comments + 1 comments
Umno melayu+Pas islam-PKR peribadi=Melayu islam PM Malaysia@Bangsa yg lain tentu hormat semula kita
Post a Comment