Pelumba ”wild card” Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah melakar permulaan baik apabila mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas kedua pada perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia 2012 di Litar Antarabangsa Sepang semalam.
Beliau mencatat masa dua minit 13.493 saat berbanding 2:09.760s dengan kedudukan ke-24 yang dicatatnya pada sesi latihan pertama.
"Saya amat berpuas hati dan gembira kerana tidak pernah dapat tempat pertama, menjadi tumpuan orang dan memberi saingan kepada pelumba lain lebih-lebih lagi berlumba ketika hujan.
"Ada sedikit perubahan pelarasan tadi. Masa sesi pertama, mekanik telah buat pelarasan untuk keadaan litar kering dan ketika sesi kedua dengan keadaan hujan, kita tiada masa untuk buat banyak perubahan pelarasan suspensi, cuma ada ubah sedikit sahaja dan aksi saya lebih baik pada pertengahan sesi itu,” kata pelumba Petronas Raceline Malaysia itu kepada pemberita di Pusat Media, di sini.
Sesi latihan bebas kedua selama 45 minit bagi kelas Moto2 agak terjejas selepas hujan lebat di kawasan litar.
Hafizh Syahrin berkata, beliau menyasarkan untuk berada pada kedudukan terbaik pada perlumbaan sebenar Ahad ini.



Post a Comment