Kira-kira 500 keluarga di Kampung Tok Panjang, di sini merayu pihak berkuasa agar menyelesaikan masalah air bertakung pada laluan utama mereka yang berlarutan sejak setahun lalu.
Difahamkan, setiap kali hujan, penduduk pasti berhadapan dengan masalah air bertakung di jalan sehingga menyebabkan laluan keluar dan masuk kawasan itu sukar dilalui kenderaan mahupun pejalan kaki.
Penduduk mendakwa sudah banyak aduan dibuat kepada pihak berkuasa tempatan namun masih belum ada sebarang tindakan diambil.
Salah seorang penduduk, Wahab Desa, 55, berkata, kehidupan keluarganya cukup terganggu akibat masalah itu berikutan rumah didiami terletak di hadapan laluan utama terbabit.
“Sebelum ini, kami tidak menghadapi masalah air bertakung, namun sejak setahun lalu selepas adanya kerja membangunkan tanah lot berhampiran rumah saya ini, masalah itu semakin berlarutan sehingga menyusahkan penduduk.
“Memandangkan laluan ini adalah jalan utama digunakan oleh penduduk, keadaan menjadi sukar kerana pengguna jalan kaki seperti pelajar perlu menjinjing kasut mereka untuk lalu di kawasan ini.
“Malah, jika ada kenderaan memandu laju di laluan ini ketika air bertakung, pasti orang di tepi laluan itu terkena tempias, malah saya sendiri pernah lencun terkena air bertakung ini,” katanya kepada media.
Wahab berkata, masalah itu mendatangkan ketidakselesaan kepada penduduk kerana ia berlanjutan lebih kurang seminggu selepas hujan.
Menurutnya, kemungkinan air bertakung itu disebabkan ketiadaan pembetung dan sistem perparitan yang sempurna.
“Sebelum ini, kami sudah mengadu kepada pihak berkuasa namun tiada sebarang tindakan dilakukan. Alasan mereka tuan tanah terlibat tidak memberi kebenaran untuk membina sistem perparitan di kawasan mereka.
“Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan segera kerana masalah air bertakung ini tidak sepatutnya timbul di zaman sekarang selain memberikan gambaran buruk kepada kampung kami,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan Pengkalan, Ahmad Hussin berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan tujuh pemilik tanah lot bagi memohon kebenaran membuat sistem perparitan di hada-pan laluan itu.
“Kami telah berbincang dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tengah, Ong Chin Wen untuk mengadakan perjumpaan dengan tujuh pemilik tanah lot di kawasan itu.
“Buat masa ini, kami sedang tunggu mereka untuk sama-sama berjumpa dan berbincang. Apa yang boleh saya katakan kami akan cuba berhubung dengan mereka secepat mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, Chin Wen turut mengesahkan hal itu dan akan cuba menyelesaikan masalah penduduk kampung terbabit.
“Sebelum ini kita telah pun berbincang dengan tuan tanah malah pihak pejabat daerah juga pernah turun dan berbincang, namun belum ada penyelesaian.
“Kami akan cuba sekali lagi berbincang dan selesaikan masalah ini,” katanya.
Gempak Saga SV, RM250 sebulan, tipu pembeli!!
7 minutes ago



Post a Comment