.

Kerajaan sumbang RM104 juta untuk martabatkan Islam di Kedah

Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM104 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk memartabatkan syiar Islam di negeri ini. Pegawai Kemajuan Negeri Kedah, Datuk Azmi Lateh berkata, jumlah itu digunakan melaksanakan sebanyak 900 projek termasuk membina 31 buah masjid baharu dan menaik taraf beberapa surau sejak 2008 sehingga tahun ini. "Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut membelanjakan sebanyak RM50 juta untuk pembayaran elaun dan gaji guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta imam di negeri ini dalam tempoh sama," katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat setuju terima projek membina masjid baru daerah Bandar Baharu di sini. Turut hadir Pengarah Urusan Arash Cipta Sdn. Bhd., Mohammad Fauzee Mohamad; Pegawai Daerah Bandar Baharu, Abdul Rahman Salleh dan Pegawai Agama Daerah Bandar Baharu, Sheikh Mohamad Naim Ahmad. Azmi berkata, daripada jumlah itu, daerah Kulim/Bandar Baharu sahaja menerima peruntukan berjumlah RM10 juta, termasuk bagi membina sebuah masjid baru bernilai RM5 juta di pekan Serdang. katanya, masjid baru yang akan dibina oleh syarikat Arash Cipta Sdn. Bhd. itu akan menggantikan masjid lama berusia 30 tahun di tengah-tengah pekan tersebut. Menurutnya, pembinaannya dijangka siap pada 26 November tahun depan bagi menampung jumlah penduduk dan memenuhi keperluan masyarakat Islam di kawasan tersebut.

 "Bilangan penduduk terus meningkat dengan adanya 11 buah kampung dan lima projek perumahan dan masjid baharu itu boleh menampung seramai 3,000 jemaah pada satu-satu masa," katanya. Katanya, pembinaan masjid baru itu dilakukan selepas lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Bandar Baharu pada 24 November tahun lalu. "Lagipun pembinaan masjid baru itu pernah dibangkitkan oleh Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang meminta Kerajaan Pusat membina dengan segera setelah daerah itu pesat membangun," katanya. Beliau berharap masyarakat Islam di daerah itu dapat mengimarahkan masjid tersebut dengan sebaik-baiknya.
Share this post :

Post a Comment

Facebook Fanpage

Networked Blog

 

Copyright © 2011. UtaraNews - The News Portal - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger