SEORANG demi seorang artis wanita di negara ini memilih untuk bertudung. Situasi yang dikaitkan dengan penghijrahan ke arah lebih positif itu juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada industri seni tanah air.
Pada dasarnya membuat keputusan untuk bertudung litup oleh golongan ini bukan sekadar menukar imej semata-mata, sebaliknya ia sebagai bukti kesungguhan mereka untuk mencari lebih banyak kebaikan dalam kehidupan selain mendalami ilmu agama.
Jika dahulu sahutan penghijrahan itu lebih kepada artis yang agak berumur, namun kini artis wanita muda juga tidak terkecuali memartabatkan nilai Muslimah yang sebenar.
Apa yang lebih membanggakan artis bertudung itu juga tidak memilih untuk meninggalkan terus bidang seni yang sudah sebati dengan mereka.
Mereka masih aktif memenuhi undangan persembahan pentas dan lakonan, sekali gus membuktikan tudung tidak sama sekali membataskan pergerakan kerjaya mereka.
Namun, seperti biasa bila sudah banyak yang melakukan penghijrahan, persoalan-demi persoalan mula muncul.
Antara soalan yang sering kali di ajukan adakah ini merupakan satu lagi gelombang gimik yang mahu diwujudkan ataupun perubahan ini benar-benar ikhlas?
Bukan mahu memeningkan kepala memikirkan tanggapan tidak sihat itu, tetapi jika terus diasak dengan kata hatinya sama, tidak salah sebenarnya untuk kita melihat sendiri sejauh mana perubahan yang dilakukan ini mampu membuktikan sesuatu yang lebih baik.
Bertudung dituntut oleh agama, tetapi bagaimana dengan hal-hal lain yang juga dituntut agama? Perubahan bertudung sepatutnya disertakan dengan perubahan dengan cara berfikir bercakap dan hati yang lebih baik.
Bagaimanapun sebagai manusia kuasa kita cukup terbatas untuk menjawab niat sebenar seseorang, tetapi jika penghijrahan ini mampu membuka laluan lebih ramai wanita islam di negara ini bertudung, kenapa kita perlu mempertikai perkara ini lagi?
Bukan itu sahaja, peningkatan lebih ramai artis wanita kini bertudung turut menjadi modal politik sesetengah pihak. Perkara ini bukan sahaja dilihat menggunakan populariti yang diraih artis wanita tersebut untuk berkempen, tetapi sedikit sebanyak mencalarkan pandangan baik terhadap beberapa artis wanita yang memilih untuk bertudung kini.
Sebenarnya golongan artis ini memikul tanggungjawab yang agak berat dengan masyarakat khususnya, imej bertudung bermaksud juga artis ini tidak akan lagi melakukan kesilapan, walhal bagi artis yang terlibat penghijrahan yang dilakukan ini lebih kepada langkah pertama mereka ke arah yang lebih baik.
Menghurai kesan penghijrahan ini kepada peminat, kami dapat melihat sendiri cara dakwah golongan ini sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada masyarakat di negara kini yang memberi definasi baru cantik buat wanita islam.
Jika 10 tahun lalu situasi ini jarang sekali wujud, namun kini tiada lagi diskriminasi bagi yang bertudung untuk turut sama memeriahkan industri hiburan di negara ini.



Post a Comment