Ibu Tiri ditahan kerana rakam video penderaan budak..

Polis menahan ibu tiri kanak-kanak lelaki yang didera bapa tirinya seperti tersebar dalam klip video di laman media sosial facebook kira-kira pukul 10 malam semalam, di Taman Meru Indah, Klang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Rusdi Md Isa berkata wanita berkenaan ditahan di rumahnya bagi membantu siasatan dan telah dibebaskan setelah kenyataannya direkod.

"Wanita berusia 20 tahun itu merupakan individu yang merekod klip video ketika mangsa dikasari oleh suspek, yang turut berada bersama suspek dan mangsa ketika kejadian," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam.

Rusdi berkata polis telah memanggil dan mengambil kenyataan ibu kandung mangsa, berumur 29 tahun yang merupakan isteri tidak berdaftar suspek, berhubung kes itu.

Beliau berkata sehingga kini, polis merekod kenyataan empat individu, iaitu ibu tiri dan ibu kandung mangsa, jiran serta doktor bagi membantu siasatan.

Katanya, kes penderaan kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun itu dipercayai berlaku dua bulan lepas dan klip video kejadian mula tersebar selepas seorang individu memuat naik ke laman facebook sejak semalam.

Semalam, polis menahan seorang lelaki berumur 32 tahun, bapa tiri kepada mangsa di rumahnya di Taman Mas, Kapar di Klang selepas menerima laporan seorang kenalan suspek yang menonton klip video itu.

Ketika serbuan, suspek yang bekerja sebagai mekanik berada bersama kanak-kanak yang dikatakan didera itu.

Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini dan didapati mempunyai kesan kecederaan dipercayai akibat penderaan serta kini diletak di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Rusdi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan suspek ditahan reman sehingga 15 Dis.

Kes penderaan itu hangat diperkatakan selepas klip video lapan minit dan 33 saat itu memaparkan seorang lelaki berbaju biru, berseluar jeans menampar, membaling serta menyepak seorang kanak-kanak yang menangis teresak-esak dimuatnaik ke laman facebook. -Bernama
share

0 comments

Leave a Reply

Copyright 2014 UtaraNews.com - All rights reserved - .