Penggunaan Kalimah Allah haram kepada agama lain..

Kerajaan didesak tidak tunduk dengan agenda jahat pihak tertentu menggugat kedaulatan agama Islam dengan menimbulkan semula isu penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil bahasa Melayu.

Sambil menyifatkan tindakan itu boleh menyebabkan kehancuran dahsyat kepada negara, Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) yang mewakili 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta rakyat sedar agenda pihak berkenaan perlu ditentang habis-habisan.

Pengerusinya, Aminuddin Yahya berkata, gerakan liberalisme dan pluralisme sentiasa berusaha sehingga ke titisan darah terakhir untuk menghancurkan Islam demi matlamat songsang mereka serta menghapuskan perpaduan antara umatnya di negara ini.

"Penggunaan kalimah Allah telah diharamkan kepada agama selain Islam oleh Majlis Fatwa kerana perkara itu akan mewujudkan kekeliruan terutama kepada golongan belia yang nipis fahaman mereka terhadap Islam.

"Sekiranya perkara ini dibiarkan, lebih banyak kalimah Islamik akan digunakan orang bukan Islam seperti Baitullah dan pelbagai lagi.

Saya melihat gesaan itu semata-mata untuk meluaskan pengaruh agama-agama lain di samping menyokong prinsip pluralisme," katanya.

Kelmarin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam perutusan sambutan Hari Krismas menggesa kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam kitab Injil versi bahasa Melayu.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan berkata, tindakan Guan Eng yang mungkin berunsur politik tersebut amat dikesali umat Islam di negara ini memandangkan isu berkenaan telah diselesaikan sebelum ini.

Tambahnya, Ketua Menteri Pulau Pinang itu dilihat seperti tercabar dengan keterbukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menunjukkan sikap terbuka terhadap penganut agama Kristian dan membuat gesaan tersebut untuk meraih undi.

"Jika hal ehwal Islam sekalipun dipolitikkan Guan Eng, maka benarlah beliau tidak memahami atau keliru dengan agama rasmi negara ini dan rakyat harus sedar hakikat ini," ujarnya.

Perkara sama ditekankan Yang Dipertua Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah yang turut mencabar parti berlabel Islam dalam pakatan pembangkang menegur kenyataan berbaur hasutan itu.

Menurut beliau, kalimah Allah merupakan hak mutlak dalam agama Islam yang berpegang teguh kepada pendirian tiada tuhan melainkan Allah.

"Kita bantah sekeras-kerasnya kenyataan Guan Eng itu dan menggesa kementerian berkaitan mengambil serius kenyataan-kenyataan seperti ini," katanya.

Admin Utaranews

0 comments:

UTARANEWS TV

Media Sosial

Facebook Fanpage

Twitter @UtaraNews

KedahNews

Suara TV

Suara Anak Muda

Suara Blogger

Alexa