Ustaz diburu kerana rogol budak tahun enam..

ALOR SETAR - Sehingga kini polis meneruskan usaha untuk memburu seorang bomoh yang bergelar ‘ustaz’ kerana dipercayai merogol seorang murid perempuan tahun enam sejak awal tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, mereka masih mengesan lokasi sebenar lelaki berkenaan kerana sudah melarikan diri selepas melakukan perbuatan itu.

Menurutnya, polis tetap beberapa kali pergi ke rumah lelaki itu di Taman PKNK untuk memeriksa sekiranya dia pulang ke rumah tetapi masih tiada.

“Walaupun sudah beberapa hari kita cuba mengesan dia namun masih belum ditemui. Kita minta orang awam yang ada maklumat mengenai lokasi terkini lelaki itu diminta tampil membantu pihak polis,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang murid perempuan tahun enam di sini, trauma selepas menjadi mangsa nafsu serakah seorang bomoh bergelar ‘ustaz’ apabila kanak-kanak itu dipercayai dirogol berulang kali dalam kejadian berasingan di Taman PKNK, sejak awal tahun lalu.

Lelaki berusia 64 tahun itu dikatakan mengambil kesempatan selepas mangsa ditinggalkan ibunya kepada ‘ustaz’ berkenaan di rumah itu untuk sesi rawatan pada waktu pagi sebelum menjemputnya pada waktu tengah hari.

Menurut ibunya, dia tidak menyangka anaknya menjadi mangsa nafsu serakah lelaki itu kerana beranggapan lelaki itu akan cuba membantu anaknya yang didakwa mempunyai sejenis penyakit dalam badan.
Share on Google Plus

Maikel De Turtle

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Post a Comment