Anwar dakwa BN nafikan pendidikan percuma untuk rakyat..

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hala tuju pendidikan negara lebih baik di bawah Pakatan Rakyat tanpa mengira kaum, suku kaum atau wilayah Semenanjung atau Sabah dan Sarawak.

Kata Anwar dalam perutusan Tahun Baru 2013, Malaysia mempunyai keupayaan mengangkat martabat rakyat dan sumber daya manusia dengan memberikan tumpuan dalam bidang pendidikan.

“Janji Pakatan memberikan pendidikan percuma bukan gula-gula piliihan raya, tetapi untuk mengangkat martabat rakyat dengan ilmu.

“Saya percaya awal tahun, sibuk untuk menguruskan persekolahan dan pendidikan anak-anak. Kami dalam KEADILAN dan Pakatan Rakyat menjanjikan program pendidikan sebagai keutamaan.

“Memastikan pendidikan itu diberikan percuma. Dari peringkat rendah hingga ke peringkat universiti. Ada yang mempertikai adakah janji ini olok-olok menjelang pilihan raya?

“Saya tidak mewakili pandangan sedemikian kerana kita punya keupayaan,” katanya dalam kenyataan. Negeri Pakatan Rakyat seperti Selangor dan Pulau Pinang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pendidikan dalam dasarnya.

Antaranya melalui skim ‘Hadiah Anak Masuk Universiti’ dan ‘Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang’. Manakala Pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merupakan sepuluh agenda utama Pakatan Rakyat.

Justeru, tegas Anwar, tidak mustahil untuk Pakatan Rakyat memberikan pendidikan percuma, memandangkan sumber ekonomi negara terlalu banyak dan lebih baik diperuntukkan secara khas bagi sektor pendidikan.

Tegasnya, apa yang menyebabkan sesetengah pihak memberikan gambaran buruk jika diberikan pendidikan percuma, kerana mereka tidak lagi dapat membolot harta negara.

“Masalahnya adalah masalah pengurusan ekonomi. Saya memberi tumpuan pendidikan kerana ini mendesak di awal tahun. Kita ada kekuatan ekonomi, sumber khazanah, minyak, gas, kelapa sawit dan percukaian cukup tinggi,” kata Anwar.
Share on Google Plus

Maikel De Turtle

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Post a Comment