Fatwa Hadi Awang buktikan Syiah tetap sebahagian dari Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul hadi Awang berkata, ajaran Syiah bukan perkara baru tetapi sudah lama wujud sejak beberapa kurun dalam dunia Islam.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, bukan semua dalam mazhab Syiah yang terkeluar dari Islam dan ada yang masih berpegang dengan ajaran Islam.

“Syiah yang masih lagi dianggap seorang Islam yang dianuti di Iran, di Iraq dan selatan Lubnan. Mereka dibenar menunaikan haji di Mekah kerana ulama mengatakan mereka juga orang Islam.

“Mereka bersembahyang dan mengerjakan haji tetapi banyak cara beribadat mereka ini cara beribadat yang bercanggah dengan kajian ahli sunnah,” katanya.

Menurutnya, jalan terbaik bagi mencari penyelesaian dalam menangani isu kontroversi Syiah perlu kepada perbincangan tertutup secara akademik dan ilmuan.

“Jadi hendak bincang hal Syiah kena ada orang akademik, perbincangan dalaman dan kerajaan mesti bertindak secara ilmu dan bukan bertindak untuk jadikan isu politik,” katanya.

Hadi kemudiannya mendakwa kerajaan tidak berniat untuk menangani kontroversi mahzab Syiah sebaliknya menjadikannya sebagai isu politik.

“Kerajaan lebih bersikap untuk menjadikan ia isu politik, bukan suatu tindakan. Sebenarnya, Syiah wujud sejak beberapa kurun dalam dunia Islam dan bukan perkara baru.

“Saya nampak kerajaan bukan hendak tangani tetapi mahu jadi isu politik. Sepatutnya, perbincangan antara mazhab ini dilakukan di kalangan ilmuan, ulama yang tahu dalam bidang dia dan bukan mereka yang tidak tahu hala bincang mengenai mazhab ini,” kata Abdul Hadi dipetik dari portal Harakahdaily.

Baru-baru ini, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan dakwaan media arus perdana mengenai beberapa pemimpin PAS yang dikatakan terbabit dengan ajaran Syiah, hanya serangan politik terhadap parti itu.

Ketua Penerangan PAS itu, berkata tuduhan itu tidak berasas sama sekali, tanpa bukti dan hanya berpandukan andaian semata-mata.

Tuan Ibrahim berkata, beberapa pimpinan PAS yang ada hubungan peribadi dengan pimpinan Iran atau gerakan Islam Timur Tengah, bukan bermakna mereka pengikut Syiah.

Perdebatan mengenai Syiah timbul kembali di Malaysia apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir mengatakan kerajaan negeri akan menggazet fatwa anti Syiah bagi membanteras fahaman itu yang didapati semakin menular di kalangan masyarakat.

Admin Utaranews

0 comments:

UTARANEWS TV

Media Sosial

Facebook Fanpage

Twitter @UtaraNews

KedahNews

Suara TV

Suara Anak Muda

Suara Blogger

Alexa