0

Lebih 2,000 anggota MCA dari seluruh negara digerakkan untuk membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, MCA akan mendekati pengundi terutamanya kaum Cina bagi memberi penerangan secara telus mengenai isu semasa yang melanda negara kini.

“Menerusi PRK kali ini, kita mahu mengajak semua kaum Cina khususnya di Sekinchan supaya menyokong BN kerana konsep kesatuan yang diamalkan kerajaan persekutuan berjaya membuktikan keteguhan dalam pentadbiran selama ini,” katanya.

Liow turut menyeru pengundi Cina terutamanya di Sekinchan supaya dapat memberikan sokongan padu kepada MCA, memandangkan parti komponen BN itu memerlukan lebih kekuatan untuk mewakili suara majoriti kaum berkenaan dalam BN.

Mengulas mengenai pemilihan Budiman, Liow menyifatkan pemilihan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu tepat kerana dilihat berkebolehan memenangi hati kaum Cina.

“Saya amat berharap semua rakyat termasuk yang berbangsa Cina dapat memberikan sokongan kepada Budiman kerana beliau merupakan calon pilihan tempatan yang tepat dan mampu berkhidmat dengan cemerlang serta dedikasi terhadap rakyat.

“Dengan PRK kali ini, kita amat berharap komuniti Cina yang inginkan kesederhanaan dan keharmonian dapat memilih BN memandangkan parti ini saja yang memperjuangkan keharmonian, kesederhanaan dan mementingkan perpaduan kaum,” katanya.

Kedua-dua PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak, pada 5 Mei lalu.

PRK Parlimen Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Budiman; calon PAS Dr Abdul Rani Osman dan Azhar Abdul Shukur daripada Parti Amanah Negara (PAN).

Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Datin Mastura Mohd Yazid daripada BN, Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad, Naib Ketua Amanah Kawasan Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 18 Jun sebagai hari pengundian dan tarikh pengundian awal pada 14 Jun bagi kedua-dua PRK.

Post a Comment

 
Top