0

Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat merancang untuk tinggal lebih lama di Jakarta, Indonesia bagi mempromosikan single “Pencuri Hati” versi dangdut Ogos ini.

Pemilik nama Nur Suhada Jebat, 24, berkata tempoh yang panjang diperlukannya untuk memperkenalkan lagunya secara meluas di stesen televisyen dan radio negara seberang.

"Sepatutnya saya ke Indonesia pada minggu kedua Raya dan mempromosikan single ciptaan Kevin Chin dan liriknya ditulis oleh saya sendiri selama seminggu.

"Namun pihak di Jakarta mahu saya tinggal lebih lama bagi mempromosikan single berkenaan secara meluas di semua stesen televisyen dan radio mereka.

"Saya tidak dapat tinggal di sana lebih lama kerana minggu ketiga raya terpaksa berada di set penggambara drama dan filem yang sudah dipersetujui lebih awal.

"Disebab itu perancangan ke Indonesia terpaksa ditangguhkan kepada bulan Ogos nanti," katanya dilapor Kosmo!.

Pelakon “Rindu Awak 200%” itu berkata, lagu yang diubah kepada irama dangdut adalah peluang emas baginya melebarkan sayap kerana sebelum ini beliau hanya menjalani penggambaran drama sahaja di sana.

Bekas pelajar Akademi Fantasia itu berkata, tidak ada masalah baginya untuk berada di sana kerana mampu bertutur dalam bahasa Indonesia dengan baik.

"Kelebihan pada saya boleh bercakap dalam bahasa indonesia kerana memiliki ramai rakan dalam kalangan orang Indonesia.

"Saya tidak kisah bercakap dalam bahasa Indonesia ketika di sana nanti jika itu lebih membuatkan mereka berasa lebih dekat," katanya.

Post a Comment

 
Top