0

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang mengalami komplikasi usus dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk proses pemantauan berterusan.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Shaiful Hazizy Zainal Abidin bahawa Menteri Besar dipindahkan ke HPP dari Unit Rawatan Rapi (ICU) Kedah Medical Center (KMC).

Beliau berkata, pihaknya difahamkan HPP mempunyai kelengkapan lebih terkini serta lengkap, selain membolehkan Menteri Besar dirawat pakar yang lebih khusus.

"Keadaan beliau (Ahmad Bashah) baik serta amat positif. Saya mohon pihak tertentu tidak buat sebarang spekulasi liar mengenai status kesihatan MB (Menteri Besar) dan media juga perlu menerima perkembangan daripada saluran rasmi pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Menteri Besar sahaja," katanya.

Sementara itu, sumber Pejabat Menteri Besar ketika dihubungi, berkata Ahmad Bashah dipindahkan dari KMC, menggunakan ambulans jam 2.30 petang dan tiba di HPP kira-kira sejam kemudian.

"Pemindahan beliau (Ahmad Bashah) ke HPP adalah atas persetujuan keluarga dan Pejabat Menteri Besar untuk kemudahan dan rawatan yang lebih baik... Keadaan MB (Menteri Besar) ok dan beliau juga sedar, malah beliau berjalan sendiri ke ambulans," katanya sekali gus menafikan khabar angin mengatakan Ahmad Bashah tidak sedar dan lemah.

Sabtu lalu, Ahmad Bashah dikejarkan ke KMC selepas mengadu tidak selesa ketika menghadiri mesyuarat di Hotel Grand Alora di Mergong, di sini, sebelum disahkan komplikasi usus.

Susulan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din, memaklumkan Ahmad Bashah akan berehat bagi suatu tempoh tertentu sehingga pulih, sebelum memulakan tugasnya semula.

Post a Comment

 
Top