0

Entah mengapa Rafizi Ramli begitu mendapat tempat di kalangan para penyokong pembangkang. Malah kerana sifat yang ada pada dirinya itu, maka PKR tidak teragak-agak mengangkatnya menjadi Setiausaha Agung, antara jawatan tertinggi dalam parti.

Apa istimewanya Rafizi? Istimewanya Rafizi pada pandangan penulis adalah kebolehannya berlawak jenaka dengan senda guraunya. Sejak dari dulu, pelbagai jenis gurau yang terbit dari otak Rafizi yang berjaya memperbodohkan rakyat.

Masih ingat lagi kisah cincin bernilai puluhan juta yang riwayatkan Rafizi dulu? Berbulan dia menuduh Datin Seri Rosmah Mansor, kononnya isteri Perdana Menteri itu membeli cincin mahal tidak masuk akal itu. Ramai sekali rakyat yang percaya pada riwayat Rafizi itu, bukan?

Penulis percaya, kisah cincin yang kononnya dibeli Rosmah itu masih lagi dipercayai rakyat Malaysia walau segelintir cuma. Hingga kini, imej isteri Perdana Menteri itu buruk di mata rakyat gara-gara Rafizi dengan riwayat cincinnya.

Tapi bila disaman dan masuk ke mahkamah, tiba-tiba Rafizi mendakwa dia hanya bergurau saja. Dalam erti kata lain, dia bergurau dan riwayat yang dicanang keliling dunia itu tidak benar pun. Itulah istimewanya Rafizi, 'gurauan'nya berjaya memperbodohkan rakyat Malaysia yang malas berfikir.

Banyak lagi 'gurauan' Rafizi yang lain. Misalnya isu Tabung Haji dan kadangkala sempat lagi dia 'bergurau' tentang hutang negara yang kononnya mendakwa kerajaan boros. Padahal, hutang negara itu meliputi semua hutang lain termasuk hutang Rafizi sekali, itupun jika dia beli rumah dan kereta secara hutang di bank.

Terbaru, dia 'bergurau' tentang jet dan bom nuklear pula. Hasilnya, dia disiasat pihak polis. Rafizi memang suka jika polis siasat dirinya. Mungkin itulah caranya untuk mencari publisiti murahan dan meraih simpati. Tangan tidak digari pun, tapi lagaknya bagai digari!

Apa yang penulis hairankan ialah masih ada lagi rakyat yang terpengaruh, suka percaya dan gemar diperbodohkan Rafizi sewenang-wenangnya. Keluarlah apa saja 'gurauan' atau 'riwayat dongeng'nya, mereka percaya bulat-bulat.

Mungkin jika Rafizi katakan konon dia anak raja pun, ada yang percaya pada dakwaannya. Malah mungkin dia riwayatkan konon Nurul Izzah mahu meminangnya sebagai suami baru, maka ramai yang akan teruja dan percaya padanya secara semberono.

Itulah kualiti yang ada pada Rafizi. Mungkin kerana itulah Anwar Ibrahim cukup sayang padanya. Sudahlah sama-sama menuntut di MCKK dulu, rupanya ciri-ciri dan sifat mereka pun hampir sama. Semua alumni MCKK memang begitukah cara berguraunya? -Amir Hamzah/Utaranews.com

Post a Comment

 
Top