0

"Saya terkejut dengan kemenangan besar ini kerana saya bergerak sebagai 'underdog' (bukan pilihan)," kata Budiman Mohd Zohdi mengenai kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar malam ini.

Walaupun optimis memenangi PRK itu namun, beliau tidak menyangka memperoleh majoriti 9,191 undi, jumlah yang jauh lebih besar berbanding 399 undi yang diraih BN menerusi Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Tidak ada strategi istimewa yang saya gunakan, cuma sekadar mendekati semua pengundi dengan sasaran bertemu 3,000 pengundi sehari," katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan PRK itu di Dewan Seri Bernam di sini, malam Sabtu.

Budiman, 44, mendapat 16,800 undi untuk menewaskan calon Parti Amanah Negara Azhar Abdul Shukur yang mendapat 7,609 undi dan calon PAS Dr Abdul Rani Osman yang meraih 6,902 undi.

Bagi misi pertamanya, Budiman berkata beliau akan berusaha menaikkan taraf pasar awam Sekinchan yang tidak diurus dengan baik oleh kerajaan Selangor.

"Saya akan cuba selesaikan masalah ini dengan segera kerana itu janji saya ketika berkempen," katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang.

Beliau juga akan membuka pusat khidmat masyarakat di Sekinchan bagi membolehkan orang ramai mengemukakan masalah mereka.

Dalam pada itu, Budiman mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera BN yang membantunya sepanjang tempoh berkempen.

-- BERNAMA

Post a Comment

 
Top