0

Fenomena kayu penghadang Masjid Jamek Tedong, Serkam yang bergerak sendiri disebabkan faktor persekitaran dan bukannya akibat perbuatan jin, jelas Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Rahimin Bani berkata, siasatan pihaknya mendapati penghadang itu boleh bergerak sendiri kerana ia beroda dan diletakkan di tempat terbuka.

“Pihak JAIM telah menjalankan siasatan di masjid tersebut dan mendapati penghadang kayu itu boleh bergerak sendiri apabila angin ia mempunyai roda.

“Selain itu, permukaan lantai yang licin juga adalah faktor utama penghadang kayu tersebut mudah bergerak mengikut arah angin,” kata Ketua Penguatkuasa JAIM itu dilapor Kosmo! hari ini.

Katanya, walaupun tidak menafikan wujudnya golongan jin yang mampu menggerakkan sesuatu objek tetapi kes itu tiada kaitan dengan unsur kehadiran jin.

Sementara itu, sekumpulan pengamal perubatan Islam mendakwa kononnya berjaya merakamkan kehadiran makhluk halus dalam masjid itu, lapor Berita Harian.

Lima individu dari Pertubuhan Gerak Agam (AGAM) datang ke masid itu pukul 12.30 tengah malam kelmarin, meletakkan piring putih dan tujuh kuntum bunga melur atas lantai tandas wanita untuk mengesan kehadiran paranormal.

Selepas kira-kira dua jam, kumpulan itu kembali semula ke masjid dan mendapati kedudukan bunga itu beralih walaupun tingkap dalam tandas itu tertutup.

Mohammad Zulkefli Abdul Aziz, 48, juga mendakwa telefon bimbitnya merakamkan imej seakan-akan lembaga hitam di kerusi plastik , dipercayainya berkaitan dengan kejadian rakaman penghadang kayu bergerak pada kamera litar tertutup (CCTV) sebelum ini. - MMO

Post a Comment

 
Top