0

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) hari ini memberi nasihat kepada parti yang tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar supaya kembali memberi tumpuan mencari pahala di dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Dr Maza berkata, PRK sudah pun selesai dan diharap semua pemimpin dan ahli parti dapat memberi tumpuan kepada pembersihan jiwa didalam bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini.

"Pilihan Raya Kecil sudah berakhir. Bulan Ramadan kita tumpukan kepada pembersihan jiwa," kata Dr Maza di laman Facebooknya.

Dalam masa sama, Dr Maza mengingatkan pemimpin parti yang tewas dalam dua PRK ini supaya tidak bertindak menghancurkan kerajaan kerana perkara itu boleh menghancurkan sesebuah negara.

Jelas Dr Maza, semua pihak termasuk pemimpin pembangkang yang tewas dalam pilihan raya boleh mengkritik kerajaan, tetapi jangan sampai merosakkan sesebuah negara itu.

"Kerajaan boleh dikritik tapi bukan dihancurkan. Pemimpin juga boleh dikritik dan dipertikaikan, namun bukan untuk merosakkan negara. Kadang-kala kita gagal mendapatkan sesuatu yang lebih baik, namun itu lebih baik dari menjadi lebih buruk.

"Perjuangan mewujudkan negara yang lebih baik dan telus mesti diteruskan. Namun dengan cara yang menambahkan kebaikan bukan mendatangkan kemudaratan," katanya.

Dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Barisan Nasional berjaya memenangi kerusi tersebut sekaligus menewaskan Pas dan Pakatan Harapan yang ditandingi oleh parti bongsu, Parti Amanah Negara (PAN).-AndyBolat/Utaranews.com-

Post a Comment

 
Top