0

DAP menyokong AMANAH pada PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar kerana ia adalah rakan sekutu dalam Pakatan Harapan, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Kita sokong parti AMANAH sebagai rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan. Apa salahnya kalau kita (DAP) sokong calon parti AMANAH.

“Satu tuduhan melulu kalau nak sebut kita ada agenda tertentu,” katanya kepada media.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa DAP menyokong calon AMANAH dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar kerana parti itu mempunyai agenda seperti menghalang perjuangan Islam yang dibawakan PAS.

Abdul Hadi berkata, tindakan AMANAH bertanding dalam kedua-dua PRK itu hanya untuk memecahkan undi yang sepatutnya diterima calon pembangkang.

Guan Eng berkata, DAP dan AMANAH mempunyai matlamat dan agenda sama, iaitu menentang BN.

PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid; Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad; Naib Ketua AMANAH kawasan Kuala Kangsar, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK Sungai Besar pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, iaitu ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi; calon PAS diwakili ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman dan Pengerusi AMANAH Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur.

Kedua-dua PRK diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini.  – BERNAMA

Post a Comment

 
Top