0

Selepas diserang bertubi-tubi pemimpin Umno, kali ini giliran pemimpin tertinggi PAS pula menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menyokong Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang baru lepas.

Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din memberitahu Utusan Malaysia, bekas perdana menteri itu bersekongkol dengan DAP “yang nyata menjadi musuh Islam”.

“Bersahabat baik dengan musuh Islam, kita akan jadi seperti mereka juga.

“Oleh itu, adalah lebih baik untuk kita balik mempertahankan syariat Islam dengan mengutamakan ukhuwah atau persaudaraan yang berteraskan kepada hukum-hukum syarak dan menjauhi diri daripada tindakan yang mengundang kemurkaan Allah,” kata Haron.

Dr Mahathir sebelum ini menjadi sasaran serangan pemimpin Umno dan PAS ekoran sokongan terbukanya kepada calon Amanah, yang mewakili Pakatan Harapan di kedua-dua PRK Sabtu lepas.

Calon Barisan Nasional (BN) di kedua-dua kawasan Parlimen itu menang dengan majoriti besar.

Ekoran kemenangan BN itu, Dr Mahathir menerima pelbagai sindiran dan teguran, termasuk daripada Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, yang berkata pemimpin berusia 90 tahun itu perlu perbanyakkan masa di atas tikar sembahyang dan bersara dari politik.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata beliau akan terus bersuara menentang pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang menurutnya dilanda salah guna kuasa dan rasuah.

Haron berkata Dr Mahathir “berubah” kerana gagal menjatuhkan Najib.

“Apabila hasratnya untuk menukar Perdana Menteri tidak berhasil, maka semuanya telah berubah.

“Perjuangan untuk memartabatkan Islam melalui perpaduan sepatutnya menjadi keutamaan Dr. Mahathir dalam umur yang begitu lanjut,” kata beliau.

Post a Comment

 
Top