1

Jabatan Mufti Kedah menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang persetujuan atau sokongan rasmi terhadap penganjuran Lantunan Mahabbah Rasulullah Ramadan bersama athar Rasulullah SAW bertempat di Dewan Besar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Jumaat lalu.

Mufti Kedah, Datuk Muhamad Baderudin Ahmad berkata, perbuatan mengambil keberkatan terhadap athar Rasulullah SAW secara berlebih-lebihan adalah tidak digalakkan dalam Islam.

Katanya, perbuatan seperti mencium, menjunjung replika bekas atau tempat atau barang peninggalan Rasulullah SAW dengan gaya melampau dibimbangi boleh membawa kepada khurafat atau syirik.

"Perbuatan ini memang tidak bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menerima keberkatan atau tabarruk dengan athar Rasulullah SAW sebagai wasilah bagi mendapat kebaikan daripada perbuatan itu.

"Tapi, ia cukup sekadar mengambil berkat dengan berdoa dan berselawat kepada Rasulullah SAW, bukannya dengan dengan gaya melampau," katanya menerusi satu kenyataan media.

Katanya, dalam hal ini pihaknya berpendapat boleh mengambil berkat dengan athar Rasulullah, namun kaedah digunakan perlu dalam keadaan sederhana.

Jumaat lalu, MBAS dengan kerjasama Institut Ibnu Sina, Yayasan Restu dan Mahabbah Rasul Malaysia menganjurkan program berkenaan bagi memberi peluang orang ramai yang hadir untuk melihat, memegang, mengucup dan menjunjung athar Rasulullah SAW.

Bagaimanapun, perbuatan itu mendapat tentangan daripada beberapa pengguna Facebook yang menganggap perbuatan itu sebagai bidaah lebih-lebih lagi dilakukan di Ramadan.

Program sehari itu bermula 9 pagi dan berakhir 12 tengah malam dipercayai dihadiri lebih 300 masyarakat setempat bagi mendapat keberkatan dan kebaikan daripada barangan peninggalan Rasululah SAW didakwa rambut, kesan tapak kaki dan pedang.

Post a Comment

  1. Politicalamity928 June, 2016 21:27

    apa apa saja yang menyanjung selain dari Allah ...adalah amat bertentangan dan menduakan Allah...

    ReplyDelete

 
Top