1

Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menegaskan sekiranya rakyat mengundi calon Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Piliharan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, bermakna mereka memilih undi bagi urus tadbir yang baik.

 Menurut anak perempuan Anwar itu, perkara itu terbukti dengan kejayaan pentadbiran Selangor yang bekerja keras memenuhi aspirasi rakyat dalam menjana ekonomi negeri itu sejak 2008.

Untuk itu katanya, Pakatan Harapan siap siaga dalam memenuhi impian dan aspirasi rakyat bermula dengan PRK Sungai Besar.

“Berdasarkan Laporan 2010 hingga 2014 daripada Jabatan Statistik, Selangor menyumbang kepada pendapatan negara, iaitu sebanyak 22.4% menerusi penjanaan aktiviti ekonomi, manakala Kerajaan Persekutuan Kuala Lumpur adalah yang kedua pada 15.1%.

“Kemajuan ekonomi di Selangor mahu dikongsi Pakatan Harapan dengan rakyat terbanyak.

“Fokus kami adalah untuk mengangkat status ekonomi rakyat ke arah ekonomi hebat dan masyarakat ulung. Pakatan Harapan menyambung aspirasi rakyat yang mengundi dan menaruh kepercayaan kepada kami sejak 2008 lagi,” kata Naib Presiden KEADILAN itu dalam kenyataan bersama pemimpin Amanah dan DAP.

Menurut Nurul Izzah, pada 2014, industri pertanian meliputi 1.7 peratus kawasan yang menjalankan aktiviti ekonomi di Selangor.

Kerajaan negeri juga katanya berusaha untuk meningkatkan penghasilan dan kualiti pengeluaran di mana 900 petani dari Sungai Besar telah menerima bantuan baja mikrob yang menelan belanja sebanyak RM225,000.

Selain itu kata beliau, sebagai lokasi tumpuan komuniti nelayan di Sungai Besar, Kerajaan Selangor turut berjaya menguruselia pendapatan nelayan yang tidak tetap, dan Program Skim Bantuan Nelayan dilaksanakan sejak 2012.

“Di kawasan Sabak Bernam di mana terletaknya Sungai Besar, 121 nelayan telah menerima bantuan tambahan sebanyak RM901,000 untuk sampan, enjin bot, dan alatan memancing dan menjala.

“Bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan penduduk kawasan Sungai Besar, Kerajaan Selangor memperkenalkan program Dana Usahawan Mikro.

“Sehingga kini, kerajaan negeri telah membelanjakan RM616,290 dalam memberi manfaat kepada 66 orang usahawan mikro dari Sabak Bernam,” kata kenyataan yang ditandatangani Nurul Izzah; Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad itu.

Jelas Nurul Izzah, semua kejayaan ini bukti komitmen Kerajaan Selangor dalam memastikan hasil negeri diagihkan dengan baik di segenap peringkat dan lapisan masyarakat.

PRK Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Amanah, Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Amanah diwakili Azhar Ab Shukor,  Budiman Mohd Zohdi dari BN,  dan Dr Abdul Rani Osman mewakili PAS.

Post a Comment

  1. Tolong lah mak janda ini ... cakap ikut mulut.. bukan guna akal... entah ade atau tidak akal tu... jadi ahli parlimen pun sebab pandai fitnah

    ReplyDelete

 
Top