0

Yang diPertua (YDP) PAS Padang Serai, Ustaz Shaharuddin Ibrahim yang menimbulkan kontroversi kerana melemparkan fitnah kononnya masjid-masjid di Pulau Pinang tidak boleh melaungkan azan dituntut untuk memohon maaf secara terbuka dan menarik balik fitnah tersebut.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, beliau amat kesal dengan kenyataan berunsurkan fitnah yang dilemparkan Shaharuddin ketika menyampaikan tazkirah Ramadan di Masjid Jamek An-Najah, Padang Serai, Kedah pada 11 Jun 2016.

“Tazkirah Ramadan sepatutnya menjadi wadah penyebaran ilmu agama, menyingkap kisah-kisah nabi, kelebihan Ramadan dan bukannya dijadikan pentas politik kepartian dengan menabur fitnah,” katanya dalam satu sidang media di Komtar.

Menurut Abdul Malik, lebih dikesalkan adalah tohmahan dan fitnah yang dilakukan itu ‘dilontarkan’ ketika di dalam masjid dan di bulan Ramadan yang mulia.

“Justeru, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menuntut supaya beliau (Shaharuddin) memohon maaf secara terbuka dan menarik balik fitnah tersebut dalam media massa.

“Beliau (Shaharuddin) juga perlu memohon maaf kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui kenyataan bertulis dalam tempoh seminggu. Sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan dipertimbangkan,” jelasnya.

Pada 11 Jun lalu, Shaharuddin dipercayai mengeluarkan kenyataan yang berbunyi seperti berikut:
“Kalau DAP menguasai negara…nuu Pulau Pinang tuan-tuan, bang (azan) dah tak boleh dah, bang (azan) tak boleh dah, tuan-tuan..!” - RK

Post a Comment

 
Top