0

Faktor Tun Mahathir juga boleh jadi faktor penentu kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) yang diwakili Dr Ahmad Termizi Ramli dari Parti Amanah Negara (Amanah).

Menurut Pengarah Pilihanraya DAP bagi PRK Kuala Kangsar, Paul Yong Choo Kiong, pertembungan ‘kem Najib’ dan ‘kem Mahathir’ menjejaskan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) khususnya di kalangan ahli-ahli UMNO.

“Rakyat dapat melihat Tun Mahathir yang telah memimpin negara selama 22 tahun akhirnya keluar UMNO kerana tidak dapat menerima kepimpinan dan pentadbiran Najib Razak yang banyak dikaitkan dengan skandal rasuah seperti 1MDB dan derma RM4.3 bilion,” katanya kepada media.

Paul menambah, lebih memberi tekanan terhadap BN apabila tindakan Mahathir disokong beberapa lagi pimpinan utama UMNO sebelum ini seperti bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas UMNO Tan Sri Rafidah Aziz, dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal, selain pemimpim UMNO di pelbagai peringkat.

Ditanya mengenai pertembungan empat penjuru yang dilihat dapat memberi keuntungan kepada BN, Paul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh menjelaskan bahawa calon Amanah, Dr. Ahmad Termizi berbeza dari calon-calon lain.

“Beliau adalah calon tempatan dan mempunyai pengalaman, kelayakan dan pencapaian yang tinggi dalam bidang akademik dan kemasyarakatan.

“Secara peribadi, beliau juga mudah didekati, mesra dan berkarisma,” ujar beliau.

Katanya, Amanah, DAP dan PKR akan sama-sama berkempen untuk memastikan kemenangan calon PH di Kuala Kangsar. Antara isu utama yang akan diketengahkan semasa kempen selain isu tempatan ialah isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), isu derma RM4.2 bilion dan skandal 1MDB.

“Ada yang bertanya, jika PH menang di Kuala Kangsar, GST tetap tidak dimansuhkan.

“Saya nak katakan, apa yang terpenting buat masa ini ialah memberi mesej yang jelas kepada BN bahawa rakyat terbeban dengan cukai yang menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan,” jelas beliau yang juga Penolong Setiausaha DAP Perak.- RK

Post a Comment

 
Top