0

Kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 9,191 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, bakal menjadi pemangkin kepada kebangkitan semangat parti itu untuk merampas kembali Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata semangat berpasukan dan saling bantu-membantu dalam kalangan BN Selangor serta jentera seluruh negara termasuk parti komponen, menjadi petanda bahawa tiada yang mustahil dapat dicapai.

"Saya harap dapat meneruskan momentum daripada pilihan raya negeri Sarawak, Kuala Kangsar dan Sungai Besar kerana saya nampak semangat cukup luar biasa yang ditunjukkan seluruh jentera," katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan PRK itu, di Dewan Seri Bernam di sini, malam Sabtu.

Calon BN Budiman Mohd Zohdi meraih 16,800 undi menewaskan calon Amanah, Azhar Abdul Shukur yang mendapat 7,609 undi dan Dr Abdul Rani Osman (6,902 undi).

Hishammuddin berkata kemenangan berkenaan juga disebabkan faktor calon yang jujur dan bersungguh-sungguh dalam membela nasib rakyat.

Katanya faktor itu juga membantu BN mendapat kembali sokongan kaum Cina khususnya di Sekinchan kerana Budiman rapat dengan masyarakat berkenaan.

Mengenai perpecahan dalam kalangan parti pembangkang, Hishammuddin berkata beliau tidak menolak ia menjadi salah satu faktor kemenangan besar BN.

"Saya tidak suka menyatakan kelemahan pembangkang adalah kekuatan BN tetapi saya tidak boleh menolak faktor itu yang turut menyumbang kepada kemenangan (besar) ini," katanya.

Mengulas mengenai isu-isu yang dimainkan pembangkang termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau berkata: "orang ramai telah menilai jawapan yang diberikan kerajaan, melalui undi tersebut". - BNM

Post a Comment

 
Top