0

Mendengar kata seorang bekas Menteri Besar yang kecewa hilang jawatan, negeri yang pernah menjadi tempatnya 'melancong' sambil 'melencong berselfie' dulu akan diserahkan Barisan Nasional (BN) kepada PAS pada PRU ke-14 nanti.

Khabarnya, beliau membuat tuduhan itu berdasarkan pandangan peribadinya yang konon terdapat 'pakatan di peringkat tertinggi' di antara UMNO dan PAS yang mencatur kuasa pentadbiran di beberapa negeri.

Sebenarnya penulis tidak pasti dari mana beliau dapat maklumat yang diberikan kepada media itu. Mungkinkah dari sumber 'sahih' Sarawak Report? Atau dari sumber barat yang kini menjadi junjungan bapanya, Wall Street Journals?

Penulis juga tidak tahu bagaimana logik akal beliau untuk bersetuju dengan maklumat tersebut. Boleh terima dek akalkah PAS akan beri Kelantan kepada BN dan BN akan berikan Kedah kepada PAS begitu saja pada PRU ke-14 nanti? Dia fikir kerajaan negeri itu sebahagian dari sistem 'barter trade'?

Tapi itulah tahap kecelaruan pemikiran seorang 'anak manja' negarawan ulung yang dikatakan menjadi 'calon favorite' untuk ditabalkan menjadi Perdana Menteri nanti. Entah dari 'longkang' mana maklumat yang dia kutip dan dihidangkan kepada media agaknya?

Berbicara tentang Dato' Seri Mukhriz Mahathir, penulis yakin ramai yang terpengaruh dan 'terpercaya' pada kebijaksanaannya. Penulis juga dulu hampir terpedaya. Maklumlah, lulusan universiti luar negara. Tapi mujurlah cepat tersedar, otaknya hanya indah khabar dari rupa.

Entah dari mana agaknya datang idea untuk mencetus propaganda kononnya BN dan PAS mengamalkan sistem 'barter trade'? Mentang-mentanglah kini rapat dengan DAP dan PAN, idea dari merekakah yang dipakai Mukhriz?

Mukhriz cuba untuk melaga-lagakan UMNO dan PAS? Sedang umat Islam di seluruh negara sudah bosan melihat perbalahan UMNO - PAS, dan mereka mendoakan agar kedua parti itu bekerjasama demi perpaduan ummah, agama, bangsa dan negara, Mukhriz pula cuba jadi batu api?

Kenapa Mukhriz risau jika PAS dan UMNO bekerjasama? Kerana jika kedua parti itu bekerjasama maka Mukhriz, Muhyiddin, DAP, PAN dan PKR tiada peluang untuk menewaskan BN pada PRU ke-14 nanti?

Pada pandangan penulis, jika UMNO dan PAS tidak bergabung dalam satu payung sekalipun, DAP, PAN, PKR dan pasukan Deklarasi Mahathir-Kit Siang tidak akan berpeluang untuk menjajah Malaysia, kecuali diizinkan Allah. Itu yang penulis yakin.

Gagal menjadi Perdana Menteri dari UMNO setelah dipecat parti, kini Mukhriz cuba menjadi Perdana Menteri pertama dari kem pembangkang? Mungkin logik cubaan itu. Maka Mukhriz perlulah bekerja keras dari sekarang, bukan?

Mukhriz dan Muhyiddin perlu adalah mesyuarat dengan DAP, PKR dan PAN untuk membentuk pakatan baru. Syaratnya, Muhyiddin perlu jadi Perdana Menteri jika menang pada PRU ke-14 nanti dan Mukhriz jadi Timbalannya.

Selepas sepenggal, Muhyiddin perlu bersara dari jawatan Perdana Menteri untuk memberi laluan kepada Mukhriz pula menjadi Perdana Menteri. Lim Guan Eng, Mat Sabu dan Dato' Seri Anwar Ibrahim hanya perlu tengok dan jadi menteri saja, tidak lebih dari itu.

Kenapa Mukhriz perlu bersatu dengan Pakatan Harapan? Habis? Takkanlah dengan 2 kerusi Parlimen Muhyiddin dan Mukhriz maka mereka boleh jatuhkan Dato' Seri Najib Tun Razak? Hendak bergabung dengan PAS, PAS memang tidak sebulu dengan Mahathir. Memang tiada pilihan lain selain Pakatan Harapanlah.

Soalnya, mahukah Lim Guan Eng, Mat Sabu dan Anwar terima Muhyiddin dan Mukhriz jadi Perdana Menteri? Itu penulis enggan campur. Biarlah mereka berlima 'bersepak terajang' sesama mereka. Selamat kalah! -Amir Hamzah/Utaranews.com

Post a Comment

 
Top