0

Bagi memastikan kefahaman orang ramai tentang pindaan Akta 355 PAS akan memperbanyakkan lagi program penerangan, wacana dan dialog termasuk dengan bukan Islam.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata program itu akan diperhebatkan lagi selepas Hari  Raya Aidilfitri dengan menganjurkan program penerangan di seluruh negara.

Katanya kerajaan Kelantan juga akan menganjurkan wacana Rang  Undang-Undang pindaan Akta 355 di Madinah Ramadan I pada 28 Jun ini.

“Program penerangan dan dialog itu akan turut dilibatkan dengan  masyarakat bukan Islam bagi memberi kefahaman lebih jelas mengenai pindaan tersebut.

“Usaha akan dilakukan dengan lebih agresif PAS Pusat selepas Hari Raya ini setelah RUU mengenainya dibawa anggota parlimen Marang pada persidangan parlimen baru-baru ini,” katanya selepas ceramah Ghazwah Badar di Madinah Ramadan II di Bandar Satelit Islam Pasir Tumbuh.

Hadir sama Timbalan Mursyidul Am PAS Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Naib Presiden Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Ketua Penerangan Datuk Nassurudin Daud dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Zamri Ismail.

Pada persidangan parlimen April lepas Presiden PAS yang juga anggota parlimen Marang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dibenarkan membuat bacaan pertama RUU tersebut setelah diberi laluan.

Pindaan Akta 355 dibuat bagi memartabatkan Mahkamah Syariah di Kelantan untuk meningkatkan jumlah hukuman sedia ada supaya setaraf dengan mahkamah sivil.

Bagaimanapun perundangan tersebut tidak melibatkan orang bukan Islam.

Berucap sebelum itu Ustaz Tuan Ibrahim berkata kejayaan PAS membawa RUU tersebut di parlimen ditunggu rakyat  sejak berpuluh tahun lepas.

Sebelum itu Ustaz Ahmad berkata setiap anggota parlimen Muslim berdepan dengan cabaran besar pada persidangan parlimen Oktober hadapan bagi menyokong usul  untuk membolehkan RUU mendapat kelulusan.

“Saya mendoakan semoga RUU tersebut diluluskan dengan sokongan semua anggota parlimen Muslim di negara ini,” ujarnya.

Post a Comment

 
Top