0

PAS sudah serik 'dipermainkan' DAP sepanjang menjalinkan hubungan politik dengan parti itu menerusi Pakatan Rakyat, justeru tidak hairanlah parti Islam berkenaan menolak sebarang cadangan untuk bergabung dengan gagasan politik baru, Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Penganalisis politik, Dr Jeniri Amir menambah PAS juga nekad menolak jemputan untuk bergabung dengan Pakatan Harapan kerana gagasan itu turut dianggotai parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN).

DAP selama bertahaluf siyasi dengan PAS kerap membangkang agenda perjuangan Islamnya manakala PAN dianggap sebagai pengkhianat selepas keluar daripada PAS dan menubuhkan parti baru, yang mirip wadah perjuangannya.

"Tidak mahu pisang berbuah dua kali, begitulah pegangan PAS kerana mereka merasa sudah dipermainkan oleh DAP.

"PAS melihat permainan politik ini sudah mengajar mereka banyak perkara jadi tidak mahu terjerumus lagi dalam lubang yang sama," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Terdahulu Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu Antarapos, bahawa PAS meletakkan syarat untuk bergabung dengan parti pembangkang sebagai persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Syaratnya adalah PAS tidak mahu menyerahkan atau mengorbankan kerusi mereka kepada parti lain selain pembangkang perlu komited untuk mengadakan pertandingan satu lawan satu pada PRU14 kelak.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini menyaksikan pertembungan empat kerusi antara PAS dan PKR makalan pertindihan lima kerusi antara PAS dan PAN.

Malah PAS juga cuba dinafikan hak untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, baru-baru ini.

Namun tegas Jeniri, sekiranya PAS masih tetap dengan syarat mereka, ia tidak akan menguntungkan bukan sahaja parti itu tetapi pembangkang yang lain.

"Kalau PAS bertindak bersendirian, PAS tidak akan ke mana-mana. Sama juga dengan parti komponen pembangkang yang lain, hakikatnya mereka saling memerlukan.

"Jadi kalau betul-betul kedua-dua belah pihak nak menakluki Putrajaya (mereka) tak ada pilihan lain kecuali semua parti berkorban (kerusi) (dan) perbetul kesilapan yang dialami semasa berada dalam Pakatan pembangkang sebelum ini," tegasnya.

Tetapi ujarnya, walaupun PAS bersetuju untuk bekerjasama dalam pilihan raya akan datang, adalah mustahil untuk parti itu menyerahkan kerusi mereka kepada parti komponen Pakatan Harapan.

"Itu yang jadi masalahnya, Amanah (PAN) akan ambil kerusi dari mana? Amanah (PAN) akan ambil kerusi daripada PAS dan tidak mungkin daripada DAP dan PKR. Jadi sebahagian besar itu adalah pertembungan antara PAS-Amanah (PAN)," ujarnya.

Malah katanya pembangkang perlu sedar isyarat yang dihantar pengundi pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar hujung minggu lalu, kerana mereka sudah jemu dengan pergolakkan yang tiada kesudahan.  

"Sekarang pengundi sudah menghantar mesej dengan jelas dalam dua PRK ini, jadi pola dan corak pengundian itu sebenarnya menggambarkan apa yang bakal berlaku dalam PRU akan datang kalau parti komponen pembangkang ini tidak mengambil iktibar," katanya.

Beliau turut yakin sekiranya pembangkang gagal mencapai kata sepakat sebelum PRU akan datang, kedegilan PAS akan menjadi punca kepada kemenangan.

Post a Comment

 
Top