0

PAS tidak akan memberikan kerusi tradisi yang pernah ditandinginya dalam pilihan raya kepada Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau mencadangkan supaya Amanah bertanding di kerusi yang tradisinya ditandingi DAP jika ia ingin memang dalam pilihan raya itu nanti.

"Amanah kalau dia nak hidup kena bertanding atas kerusi DAP, dia ada harapan menang, kalau bertanding atas kerusi PAS dia akan kalah.

"Sepatutnya DAP beri kerusi kepada Amanah sebab Amanah anak buah dia, nampak sinonim kedua-duanya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah politik di Pasir Tumboh di sini, Khamis malam.

Amanah adalah parti serpihan PAS yang kini diketuai bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu.

Tuan Ibrahim berkata kajian yang dibuat oleh PAS terhadap keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini, mendapati Amanah mendapat sokongan dari kawasan pengundi bukan Melayu.

Beliau juga berkata PAS akan bertanding di tempat yang tradisi parti itu bertanding di seluruh negara dan tidak akan berkompromi dengan parti lain termasuk DAP dan Amanah.

Ditanya tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersekongkol dengan DAP untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Tuan Ibrahim berkata apabila Dr Mahathir guna politik, reputasinya telah terjejas.

Beliau berkata rakyat menjadi keliru dengan apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata PAS akan menganjurkan wacana bagi menjelaskan mengenai Rang Undang-undang Persendirian berkaitan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membentangkan usul Rang Undang-undang persendirian itu di Dewan Rakyat pada 26 Mei lepas.

"Dalam tempoh empat bulan ini (sebelum Dewan Rakyat kembali bersidang pada Oktober), kami akan jumpa semua pihak termasuk ahli politik dan anggota Parlimen, supaya rakyat benar-benar faham mengenai pindaan itu," katanya.

-- BERNAMA

Post a Comment

 
Top