0

Nampaknya, dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini menjadi kayu pengukur kepada PAS bagi menganalisa kekuatan sebenar mereka berdepan 'pengkhianat' parti itu, Parti Amanah Negara (PAN).

Di Sungai Besar, PAN menerima undi lebih besar berbanding PAS. Namun di Kuala Kangsar, PAS pula berjaya 'menewaskan' PAN. Namun jika di analisa secara kasar, ramai yang berpandangan PAS hilang undi dari penyokong PKR, DAP dan bekas ahlinya sendiri di kedua PRK berkenaan.

Signifikannya, jika dicampur undi yang yang diterima PAN dan PAS di kedua PRK tersebut, ternyata jumlahnya tidak dapat mengatasi jumlah undi yang diperoleh Barisan Nasional (BN) yang mendahului dengan majoriti yang lebih besar kali ini.

Justeru, BN kini berada di kelasnya yang tersendiri sebagai parti utama yang menjadi pilihan majoriti rakyat dan tidak seperti PAS atau PAN yang masing-masing memungut kurang 1/3 undi dari jumlah yang diperoleh BN.

BN bukan soalnya kini. Soalnya adalah perlumbaan meraih undi di antara PAS dan PAN. Kita tahu, PAN merupakan parti serpihan PAS. Dengan memungut undi lebih dari PAS di Sungai Besar, Mat Sabu kini mendabik dada dan mendakwa partinya itu bukan 'parti nyamuk'.

Pada pandangan penulis, 'nyamuk', 'ayam' atau 'kambing' sekalipun, PAN hanya berjaya mendapat sedikit sahaja undi dari PAS. Itupun dari kalangan bekas ahli PAS dan segelintir 'harum manis' yang masih kekal di dalam PAS. Selebihnya adalah dari DAP dan PKR.

PAS sebelum ini mendakwa mereka masih lagi bersahabat dengan PKR. Namun apa yang berlaku di Sungai Besar dan Kuala Kangsar menyaksikan pemimpin PKR berkempen untuk PAN, dan bukan PAS. Dari sudut ini, apakah itu peranan PKR sebagai 'sahabat' PAS?

Apakah benar PKR juga menganggap PAS sebagai 'sahabat'? 'Sahabat tikam sahabat'? Sebenarnya, itulah antara persoalan besar yang menjadi tanda tanya dan mencetus kekeliruan di kalangan pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Kekeliruan itu pula menyimpulkan bahawa PAS dan PKR sebenarnya tidak bersahabat dan merupakan seteru apabila tiba saat pilihan raya. PKR dilihat lebih condong kepada PAN dan senario itu agak menjengkelkan sebahagian besar pengundi, khususnya pengundi Melayu.

Dari sudut lain, pengundi DAP yang rata-ratanya pengundi Cina masih memberi undi pada PAN, terutama di Sekinchan, Dun yang diwakili DAP. Namun di Kuala Kangsar, terdapat beberapa PDM majoriti bangsa Cina yang memberi undi pada BN, tidak kepada PAN mahupun PAS.

Berdasarkan keputusan dan analisis pola undi di kedua PRK yang baru selesai itu, siapakah yang lebih kuat sebenarnya? PAS atau PAN? Sama kuat? Atau PAN hanya mengharapkan undi dari pengundi PKR dan DAP sahaja, dan hanya ditambah segelintir 'harum manis'?

Penulis kira, keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan memberikan maklumat berguna pada PAS untuk mempersiapkan diri menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti yang jauh lebih getir.

Sebagai parti 'solo' kini, PAS terpaksa berdepan dengan PAN, PKR dan DAP yang tidak putus-putus menyerang mereka sama ada secara terang-terangan mahupun secara senyap-senyap. Rancanglah strategi yang ampuh dan tidak mustahil PAS mampu tewaskan gerombolan PAN, PKR dan DAP nanti. -Amir Hamzah/Utaranews.com

Post a Comment

 
Top