0

Peratusan mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, dijangka terus meningkat berikutan trend peningkatan jumlah pengundi ke pusat pengundian sejak 8 pagi tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata pihaknya berharap dapat mencapai sasaran 75 peratus pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka sehingga pusat pengundian ditutup 5 petang ini.

"Saya yakin peratusan ini akan meningkat dan kami amat mengharapkan bukan sahaja dapat mencapai sasaran 75 peratus malah mendapat lebih daripada jumlah itu.

"Kalau betul-betul mereka yang layak mengundi keluar menunaikan tanggungjawab dan mereka yang berada di luar kawasan juga balik untuk mengundi, maka sasaran tersebut dapat dicapai.

"Ini adalah harapan kita dalam menegakkan sistem demokrasi dalam negara menerusi pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Muda Musa di sini, Sabtu.

Menurut Mohd Hashim, tiada sebarang kekecohan dilaporkan berlaku di kedua-dua PRK berkenaan setakat ini malah ia berlangsung dalam keadaan aman dan cuaca yang baik.

"Saya harap mana-mana penyokong parti agar tidak mengeluarkan kata-kata kesat sehingga boleh menyinggung perasaan dan mencetuskan suasana tidak baik. Semoga keadaan ini berterusan sehingga pusat mengundi ditutup pada pukul 5 petang," katanya.

Sebanyak 34 peratus pengundi (daripada 42,365 pengundi) di PRK Sungai Besar telah menunaikan tanggungjawab mereka, manakala di PRK Kuala Kangsar, sebanyak 36 peratus (daripada 32,632 pengundi) menunaikan tanggungjawab mereka setakat 11 pagi ini.

PRK Kuala Kangsar diadakan serentak dengan PRK Sungai Besar, Selangor berikutan kematian Anggota Parlimen masing-masing iaitu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

PRK Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Barisan Nasional, PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Bebas, manakala PRK Sungai Besar - tiga penjuru antara BN, PAS dan Amanah. -- BERNAMA

Post a Comment

 
Top