0


Naib Presiden Pas, Idris Ahmad menyifatkan tindakan pihak yang menaikkan billboard berbentuk provokasi dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar sebagai satu tindakan 'baling batu sembunyi tangan'.

Menurut Idris, tindakan pihak tidak bertanggungjawab menaikkan billboard provokasi itu, yang mendakwa Pas kononnya bersekongkol dengan parti pemerintah sebagai satu tindakan yang bacul dan pengecut.

"Tindakan pihak-pihak tertentu yang 'baling batu sembunyi tangan', memacak papan iklan yang cuba membabitkan Pas bersekongkol dengan skandal ini adalah tindakan yang bacul," kata Idris dalam sidang media hari ini.

Dalam masa sama, Idris turut menyelar dakwaan billboard tersebut yang mengatakan Pas bersama Barisan Nasional dengan mengatakan Pas sama sekali tidak bekerjasama dengan parti pemerintah dan perkara itu ditonjolkan Pas dalam pilihan raya.

Jelas Idris, Pas menyertai PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar bukan bertujuan untuk menewaskan Pakatan Harapan... Sebaliknya Pas bertanding kerana mahu menewaskan Barisan Nasional yang menjadi parti tunjang kerajaan persekutuan.

"Pas menyertai PRK di Kuala Kangsar  dan Sungai Besar adalah untuk bertentangan melawan Umno yang menjadi tunjang Kerajaan Malaysia hari ini. Penentangan Pas turut membabitkan kegagalan Umno dalam menguruskan dana dan harta negara, termasuklah isu yang melibatkan 1MDB.

"Semenjak isu ini timbul, Pas secara konsisten mendesak supaya dilakukan siasatan terhadap isu ini, malah Lajnah Politik dan Pilihanraya Pas telah mendesak diwujudkan Suruhanjaya DiRaja untuk siasatan tersebut," katanya.

Disebabkan pihak tidak bertanggungjawab telah menaikkan billboard provokasi untuk menimbulkan 'kekecohan', Pas telah membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan akhirnya billboard berkenaan telah diturunkan. - AndyBolat/Utaranews.com

Post a Comment

 
Top