0

Kita selalu benar dengar cerita tidak sedap membabitkan artis baharu dan muncul popular sekelip mata. Paling sinonim, mereka dikatakan tidak tahu menghormati artis senior.

Aduan membabitkan sikap penyanyi yang popular menerusi media sosial seperti itu sudah acap kali Cik Pang dengar. Mereka tidak peduli mengenai orang lain. Apa yang mereka tahu adalah diri mereka popular dan digilai ramai, dan perkara itu membuatkan mereka berasakan diri sudah cukup besar.

Terbaru, kita dikhabarkan berita mengenai anggota kumpulan Projector Band yang sekarang sangat popular dengan lagu Sudah Ku Tahu.

Kisahnya, seorang teman wartawan berkongsi cerita tidak manis membabitkan anggota Projector Band bertembung dengan vokalis satu kumpulan popular pada akhir 1990-an sewaktu menjalani sesi fotografi.

Teman wartawan itu hairan apabila anggota kumpulan Projector Bond hanya buat tidak tahu apabila penyanyi senior itu berjalan melintasi mereka.

Teman itu bertanyakan kepada Projector Band, mengapa mereka bersikap sedemikian. Jawab anggota kumpulan itu, mereka tidak kenal walaupun sudah disebutkan nama penyanyi itu dan kumpulan yang pernah dianggotai.

Bersikap positif, wartawan itu menganggap mungkin sewaktu kumpulan dianggotai penyanyi senior itu popular, mereka belum lahir.

Sudah beranggapan begitu, teman wartawan tadi berceritalah mengenai penyanyi senior itu serta kehebatannya dan kumpulan pernah dianggotai. Dia kemudiannya menyuruh anggota kumpulan Projector Band pergi menyapa dan bersalaman dengan penyanyi senior terbabit.

Apa yang mengejutkan teman wartawan tadi, apabila kumpulan baru dan popular ini bertanya kembali padanya, adakah perlu untuk mereka pergi menyapa dan bersalaman dengan penyanyi senior itu?

Mendengar reaksi diberikan, teman wartawan tadi tepuk dahi. Dia hairan dan bertanya pada diri sendiri, mengapa anggota kumpulan Projector Band harus bertanya kembali, sedangkan cadangan yang diberikan teman wartawan itu tadi perkara yang baik. Kalau tidak kenal sekalipun, tidak salah kalau bertegur, bersalam dan berkenal-kenal.

Mana tahu, menerusi pertemuan tidak disengajakan itu, banyak perkara yang boleh berlaku selepas itu. Sekurang-kurangnya mereka boleh menimba ilmu mengenai industri daripada penyanyi senior itu tadi.

Mungkin sewaktu bertanya soalan (perlukah untuk bersalam) kepada teman wartawan itu, dalam hati mereka berbisik; ‘mengapa aku perlu salam dia sedangkan aku jauh lebih popular kot daripada dia. Zaman dia sudah lama berlalu dan sekarang zaman aku’.

Apa juga tanggapan awak, sekurang-kurangnya penyanyi senior itu walaupun zamannya sudah lama berlalu, dia masih lagi berada dalam industri dan namanya masih diingati ramai. Namun apabila zaman awak sudah berlalu, belum tentu orang akan ingat.

Waktu itu kalau awak tidak beringat dan merempat, merayu minta bantuan pun tidak ada yang sudi memandang. Sudahlah sekarang ini perubahan dalam industri berlaku sangat pantas. Dalam masa tiga bulan sahaja sudah ada orang yang meningkat lebih popular daripada awak. Fikir-fikirkanlah. - CikPang/HM

Post a Comment

 
Top