0

Kemenangan luar biasa Barisan Nasional (BN) dalam dua pilihan raya kecil (PRK) semalam membuktikan bahawa rakyat menolak referendum yang dibawa oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Moha­mad dan pembangkang terhadap kepemimpinan negara.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara sinis meminta Dr. Mahathir berhenti berkempen untuk menjatuhkannya kerana lagi kerap tindakan itu dibuat, BN akan mendapat keuntungan yang lebih besar.

“PRK ini menjadi luar biasa daripada biasa kerana pembangkang khususnya Tun Dr. Mahathir menjadikannya sebagai pungutan suara atau referendum terhadap kepimpinan saya.

“Dan dia telah kempen secara terbuka supaya pengundi tolak BN tetapi dengan pendekatan ber­lipat ganda majoriti terhadap BN semakin bertambah bererti apa yang disarankan Tun Dr. Mahathir dan pembangkang ditolak oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Ru­mah Kekal Mangsa Banjir di Tapak Maju Ternak, Kampung Sta­ponal, Bukit Jong semalam.

Yang turut hadir Menteri Perda­gangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kerja Raya, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

BN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar dengan kejutan apabila memperoleh majo­riti lebih besar dalam PRK dua kerusi tersebut yang berlangsung serentak.

Kejayaan mengekalkan kerusi Parlimen Sungai Besar dengan ma­joriti 9,191 undi dan Kuala Kangsar (6,969 undi) itu nyata cukup signifikan ketika kepe­mimpinan kerajaan dan parti diuji dengan pelbagai isu semasa.

Dalam pada itu Najib yang juga Pengerusi BN mengingatkan seluruh jenteranya supaya tidak terbawa-bawa dengan kemenangan tersebut disebabkan matlamat utama adalah pilihan raya umum.

“Selepas kita terima keputusan, kita perlu memperhalusi dan buat analisa mendalam, peringkat awal kita lihat ada beberapa perkembangan yang memihak dengan jelas kepada BN.

“Saya nak kita jangan terbawa-bawa dengan kemenangan tetapi bawa sikap rendah diri itu mustahak, dekati dan rajin menolong rakyat, kalau kita pegang kepada prinsip ini insya-Allah sokongan kepada BN akan terus meningkat kerana kita tidak ada kecacatan dari segi dasar dan pelaksanaan kita boleh buat,” katanya.

Najib menambah, kemenangan itu juga menunjukkan satu trend rakyat ke arah BN termasuk daripada masyarakat bukan Melayu bermula daripada Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini

Tambahnya, rakyat juga membuktikan mereka ma­hukan kerajaan yang mampu membawa negara ke pe­ringkat lebih tinggi.

Post a Comment

 
Top