0

"Saya akan kekal bersama PAS sehingga akhir hayat saya", demikian jawapan ringkas calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Dr Abdul Rani Osman bagi mengulas pelawaan Penasihat DAP Lim Kit Siang kepadanya agar menyertai Pakatan Harapan.

Katanya pelawaan berkenaan bukan pertama kali diterimanya malah terdapat ramai lagi pemimpin pakatan pembangkang itu membuat tawaran berkenaan.

"Terima kasih banyak kerana membuat penawaran berkenaan (masuk Pakatan Harapan), nampaknya saya ada harga pada mata mereka, jika tidak mereka (pemimpin Pakatan Harapan) tidak akan ajak saya menyertai, cuma jawapan saya, saya akan tetap kekal bersama PAS sehingga akhir hayat saya," katanya ditemui pemberita hari ini.

Media semalam melaporkan Lim dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu mengajak Dr Rani menyertai PAN dan menarik diri daripada bertanding dalam PRK Parlimen Sungai Besar.

Sementara itu mengulas mengenai tempoh kempen PRK itu yang berbaki kurang 48 jam, Dr Rani berkata, sehingga kini pihaknya telah berjumpa dengan kira-kira 85 peratus pengundi.

"Pemahaman mereka (bukan Islam) terhadap isu seperti Usul Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 juga semakin bertambah, saya lihat mereka kini lebih memahami apa sebenarnya RUU berkenaan," katanya.

Usul RUU berkenaan dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu bagi memperkasakan mahkamah syariah.

"Sebelum kempen di PRK mungkin ramai pengundi bukan Islam sangka RUU itu adalah hudud berikutan termakan dakwaan pihak-pihak tertentu antaranya DAP, tapi kini ramai mula faham apa RUU berkenaan dan tujuannya," katanya.

PRK Sungai Besar pada Sabtu ini, menyaksikan Dr Rani, yang juga ADUN Meru berdepan calon Barisan Nasional (BN) Budiman Mohd Zohdi dan calon PAN, Azhar Abdul Shukur.

Post a Comment

 
Top